Nur Azmi ganti Ali Rustam terajui Karate Malaysia

Bernama
Februari 20, 2023 09:00 MYT
Mohd Ali (dua, kiri) melancarkan buku 'Imbauan Sukan SEA ke-31' hasil inisiatif Nur Azmi, yang menceritakan detik dan pengalaman temasya kontinjen negara pada Mei lepas. - Foto BERNAMA
PETALING JAYA: Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Datuk Nur Azmi Ahmad telah 'dinaikkan pangkat' sebagai Presiden badan induk berkenaan bagi penggal 2023-2027.
Beliau menggantikan penyandang Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam selepas menang tanpa bertanding pada Kongres MAKAF ke-31, semalam.
Mohd Ali yang telah memimpin persekutuan itu selama 13 tahun, membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya selepas dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Karate Dunia (WKF) pada Oktober lepas.
Mengulas mengenai kemenangannya, Nur Azmi berkata ia merupakan tanggungjawab yang besar, terutamanya untuk meneruskan legasi Mohd Ali yang memimpin MAKAF dengan baik dan pencapaian kejayaan di pelbagai peringkat antarabangsa selama ini.
"Terima kasih kepada Tun yang telah memimpin MAKAF dengan begitu hebat dan mempunyai rekod yang bagus. Saya berharap semua ahli gabungan akan bekerja rapat dan bantu saya memimpin MAKAF ke arah kecemerlangan.
"Tumpuan utama saya pada masa ini adalah untuk memastikan kita menang emas di Sukan Asia Hangzhou 2022 pada September dan muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kemboja pada Mei," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata sejurus ketua jurulatih baharu dari Mesir, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy melapor diri pada hujung bulan ini, MAKAF akan memulakan program pembangunan bagi memastikan kejayaan cemerlang pada Sukan SEA 2027, yang bakal dianjurkan oleh Malaysia.
Nur Azmi berkata, MAKAF juga akan menganjurkan Kejohanan Persekutuan Karate Asia (AKF) yang melibatkan 1,250 peserta daripada 45 negara dan pemilihan bagi pucuk kepimpinan badan induk Asia itu di Melaka pada Julai ini.
Sementara itu, Mohd Ali dalam ucapannya, berharap Nur Azmi dapat memikul tanggungjawab berkenaan dengan baik.
"MAKAF telah mencapai pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa, dari peringkat Asia Tenggara ke Dunia, hanya pingat Olimpik sahaja kita belum capai. Tugas berat menanti Nur Azmi, harap barisan kepimpinan baharu ini dapat menjalankan tugas dengan baik," katanya.
Terdahulu, Mohd Ali melancarkan buku 'Imbauan Sukan SEA ke-31' hasil inisiatif Nur Azmi, yang juga merupakan Ketua Kontinjen Sukan SEA Hanoi, menceritakan detik dan pengalaman temasya kontinjen negara pada Mei lepas.
Barisan kepimpinan MAKAF 2023-2027:
Presiden: Datuk Nur Azmi Ahmad
Timbalan Presiden 1: Datuk Vincent Chen Chee Hong
Timbalan Presiden 2: Datuk Lau Puan Long
Naib Presiden 1: M. Panneerselvam
Naib Presiden 2: Datuk P. Arivalagan
Naib Presiden 3: Datuk Jake Jikulin Nointin
Naib Presiden 4: Shamsudin B. Shaik Ali Sayabo
Naib Presiden 5: V. Wrickrama Suriya
Setiausaha Agung: Mohd Razlan Shah Bin Mohamad Rabii
Bendahari: Tan See Toh
Ahli Majlis Eksekutif: K. Anathan, P. Thennavan, Cherina Chiew Hooi Jieh, Chin Chee Fei, Yong Wi Long, Aswadee Taba, Julian Chin, S. Sukumaran, V. Chanthiran dan K. Mahenthran.
-- BERNAMA
#Persekutuan Karate Malaysia #Ali Rustam #Nur Azmi Ahmad #Sukan SEA 2027
;