Nur Aisyah harap dapat kelengkapan baharu ke Sukan Olimpik 2024

Bernama
Mac 1, 2024 17:25 MYT
Hamidin (tengah) bergambar bersama Nur Aisyah (dua dari kiri) selepas membuat pertemuan bagi persiapan sempena Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 di Velodrom Nasional hari ini. - Bernama
NILAI: Pelumba berbasikal lebuh raya negara Nur Aisyah Mohamad Zubir berharap diberikan kelengkapan dan peralatan baharu bagi menghadapi saingan di Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.
Pelumba kelahiran Terengganu berusia 26 tahun itu berkata peralatan groupset (gear, brek) dan bahagian tayar memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi pada perlumbaan yang turut disertai pelumba wanita terkemuka dunia.
Pelumba berbasikal lebuh raya wanita pertama negara beraksi di pentas Olimpik itu, ketika ini menggunakan kelengkapan yang dianggap sudah ketinggalan berbanding peralatan lebih canggih digunakan pencabar lain pada temasya berprestij itu nanti.
"Kita pun tahu nak lawan pelumba terbaik dunia, mereka pakai kelengkapan terbaik. Kalau kita pakai bawah daripada mereka, ia menyukarkan kita untuk lawan. Peralatan pun memainkan peranan... dalam 30 peratus.
"Saya harap dapat (kelengkapan baharu) sebelum bertolak ke Belgium pada Mei ini untuk kem latihan terakhir, yang turut mempunyai beberapa kejohanan peringkat Eropah kerana perlu menyesuaikan diri dengan peralatan berkenaan," katanya kepada pemberita di Velodorm Nasional hari ini.
Beliau ditemui selepas lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalannya Datuk Nicol David di sini.
Menurut Nur Aisyah, hasratnya itu telah disampaikan kepada Hamidin ketika pertemuan hari ini dan mendapat jawapan yang positif.
Mengenai latihan menjelang temasya lima tahun sekali itu, Nur Aisyah berkata pada masa ini tumpuan diberikan untuk meningkatkan daya ketahanan dan kekuatan sebelum menyertai Jelajah Biwase Vietnam pada 6 hingga 15 Mac, diikuti kem latihan selama dua minggu di Chiang Mai, Thailand dan Jelajah Thailand pada 8 hingga 10 April sebelum ke Belgium.
"Perlumbaan di Vietnam menjadi pengukur prestasi sebelum ke kejohanan lain kerana laluan di Paris hampir 160km, dan sangat mencabar. Saya melakukan latihan agak keras untuk memberikan yang terbaik kerana Olimpik ibarat peluang sekali seumur hidup," katanya.
Sementara itu, jurulatih kebangsaan Amir Mustafa Rusli, yang gembira melihat peningkatan ditunjukkan oleh anak buahnya berkata, pihaknya tidak mahu tergesa-gesa dalam meningkatkan kesukaran program latihan.
"Komitmen yang diberikannya bagus, kita akan meningkatkan kesukaran secara berfasa. Sepanjang bulan ramadan, kita akan sibuk dengan pertandingan dan latihan di luar negara, mahu atau tidak, terpaksa bekerja keras untuk Olimpik.
"Buat masa ini, memang fokus latihan ketahanan dan kekuatan. Bila tiba di Vietnam nanti, boleh masuk kelajuan. Saya dah memantaunya sejak dua tiga tahun ini, memang seorang pelumba yang kental dan lasak, boleh membuat keajaiban," katanya.
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada November lepas, mengumumkan Nur Aisyah sebagai wakil negara ke Paris, selepas mendapat makluman daripada Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) bahawa Malaysia mendapat satu slot sebagai wakil Asia dalam acara lebuh raya wanita berdasarkan ranking.
Nur Aisyah pernah meraih dua perak menerusi acara lepas beramai-ramai individu dan berpasukan dan satu gangsa acara kriterium di Sukan SEA Hanoi 2021, serta dua gangsa bagi acara lepas berama-ramai individu dan kriterium pada Sukan SEA Kemboja, Mei lepas.
Di Sukan Asia Hangzhou, China, Nur Aisyah menamatkan saingan di tempat ke-11 acara lepas beramai-ramai selain konsisten dalam kedudukan 10 teratas bagi Jelajah Biwase Vietnam 2023 serta Jelajah Thailand 2022 dan 2023, selain enam emas di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018.
-- BERNAMA
#pelumba berbasikal lebuh raya #Nur Aisyah Mohamad Zubir #peralatan baharu #olimpik paris
;