Nur Ain Nabilah-Aleena muncul juara dunia boling padang
Bernama
September 9, 2023 18:18 MYT
September 9, 2023 18:18 MYT
KUALA LUMPUR: Gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Ahmad Nawawi mempamerkan aksi cemerlang apabila muncul juara di Kejohanan Boling Padang Dunia biarpun kali pertama menyertai kejohanan yang berlangsung di Gold Coast, Australia.
Kejayaan itu juga merupakan pencapaian bersejarah buat Malaysia apabila menamatkan kemarau 15 tahun untuk memenangi pingat emas pertama sejak acara wanita dipertandingan dalam Kejohanan Dunia pada 1969.
Pasangan negara itu menewaskan lawan mereka Rebecca Rixon-Connie Leigh Rixon dari Malta 15-11 dalam acara pairs wanita berlangsung di Broadbeach Bowls Club.
Terdahulu, Nur Ain Nabilah, 25 dan Aleena, 24, melangkah ke peringkat akhir selepas mengetepikan Emma McIntyre-Claire Anderson dari Scotland 17-10 di separuh akhir manakala wakil Malta menundukkan pasangan England Sophie Tolchard-Amy Pharaoh 20-17.
Nur Ain Nabilah pernah memenangi pingat perak acara triples wanita di Sukan Komanwel 2022 Birmingham dan pingat emas acara fours di Sukan SEA 2017 dan 2019 manakala Aleena muncul juara bawah 25 tahun (B-25) dan beregu campuran di Kejohanan Boling Padang Asia di Ipoh, awal tahun ini.
"Kemenangan yang sangat bersejarah dicipta oleh pairs wanita kita. Walaupun baru diganding setahun dan masih muda, mereka telah beraksi dengan baik dan mempunyai ketahanan mental yang kuat.
"Kejayaan membanggakan buat pasukan dan Malaysia. Mereka telah tunjukkan bahawa dengan usaha keras, mereka mampu mencapai kejayaan besar dan menarik lebih ramai orang muda sertai sukan ini," kata ketua jurulatih kebangsaan Zuraidi Puteh ketika dihubungi hari ini.
Dalam acara singles lelaki, Izzat Shamer Dzulkeple tidak berjaya meneruskan perjuangan apabila terkandas di suku akhir.
Sementara itu, Idham Amin Ramlan-Izzat Dzulkeple meraih pingat gangsa dalam acara pairs lelaki selepas tewas kepada wakil tuan rumah Aaron Wilson-Aaron Teys 12-23 pada separuh akhir.
Safuan Said pernah meraih gelaran juara dunia acara singles lelaki pada edisi 2008 di New Zealand manakala pencapaian terbaik skuad wanita adalah pingat perak acara fours pada 2012 di Adelaide.
-- BERNAMA