Nur Adlina harap menyerlah pada penampilan terakhir SUKMA

Bernama
Julai 23, 2024 23:00 MYT
Nur Adlina berkata beliau telah mencapai 85 peratus persiapan untuk menggalas cabaran dan optimis mampu meraih pingat emas. - Gambar FB Majlis Sukan Negeri Perlis
PADANG BESAR: Atlet pelayaran Perlis Nur Adlina Nasreen Mohd Nasri berharap dapat tampil menyerlah pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini berikutan temasya itu terakhir bagi beliau mewakili negeri berkenaan.
Nur Adlina Nasreen, 20, berkata beliau telah mencapai 85 peratus persiapan untuk menggalas cabaran dan optimis mampu meraih pingat emas.
"SUKMA ini merupakan penyertaan kedua dan terakhir saya, jadi saya akan beraksi sebaik mungkin dan mengharumkan nama Perlis selain sebagai hadiah kepada semua pihak yang telah beri kerjasama kepada saya sehingga ke tahap ini," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata antara pencapaian tertinggi yang memberikan semangat untuknya menghadapi SUKMA itu ialah tampil cemerlang di peringkat antarabangsa dengan membawa pulang emas dalam acara ILCA 6 Women di Vietnam tahun lepas manakala tempat pertama di The 3rd Langkawi Youth Sailing Championship 2024.
"Selepas SUKMA edisi lepas (2022) saya sudah mula lakukan persiapan untuk bertanding pada SUKMA kali ini, saya juga telah menjalankan latihan intensif selama enam bulan di Langkawi dengan jurulatih kebangsaan saya.
"Saya turut menjalani latihan padat selama sebulan bersama jurulatih luar negara. Saya akan cuba perbaiki dan menyesuaikan diri apabila sampai di Miri (Sarawak) nanti. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik," katanya.
Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menyeru generasi muda yang meminati sukan pelayaran atau sukan lain supaya mengimbangi antara kepentingan pelajaran dengan sukan untuk masa depan yang lebih baik.
Dalam pada itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Perlis (MSNPs) Mohd Azraai Zain Tusimin berkata pihaknya sangat mengharapkan Nur Adlina Nasreen dapat melakukan yang terbaik di samping memberikan motivasi kepada pelapis muda dalam sukan berkenaan.
"Kita mengharapkan yang terbaik buat beliau yang bertindak sebagai tulang belakang dalam sukan pelayaran ini dan diharapkan dapat beri motivasi kepada pasukan dan pelapis muda, sebolehnya kita mengharapkan satu pingat emas dalam sukan ini," katanya.
-- BERNAMA
#SUKMA #pelapis muda #beri motivasi #MSNPs
;