Nunez, Salah selamatkan maruah Liverpool di Craven Cottage
Astro Arena
Ogos 7, 2022 08:45 MYT
Ogos 7, 2022 08:45 MYT
DARWIN Nunez menjaringkan satu gol dan assist kepada Mohamed Salah ketika Liverpool dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk seri 2-2 di Fulham dalam aksi pertama saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Aleksandar Mitrovic menanduk gol pembukaan bagi pendatang baru dalam separuh masa pertama, namun Nunez hadir sebagai pemain gantian menyamakan kedudukan di Craven Cottage malam tadi.
Mitrovic sekali lagi memberikan kelebihan buat The Cottagers dengan menyempurnakan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan oleh Virgil van Dijk ketika perlawanan berbaki 18 minit, namun Salah berjaya menampan masuk gol dari jarak dekat hasil hantaran Nunez sebelum percubaan Jordan Henderson terkena palang gol dalam masa kecederaan.
Ia merupakan enam musim berturut-turut buat Salah menjaringkan gol dalam aksi pembukaan Liverpool bagi musim baru, namun tidak cukup untuk mendapatkan kemenangan sementara kehilangan khidmat Thiago Alcantara selepas mengalami kecederaan hamstring.