Nova Widianto jurulatih beregu campuran kebangsaan baharu

Bernama
Disember 21, 2022 16:34 MYT
Nova, juara dunia dua kali pada 2005 dan 2007 selain pernah meraih pingat perak Sukan Olimpik edisi 2008 bersama gandingannya Liliyana Natsir, adalah antara beregu campuran terhebat pada ketika itu.- FB Badminton Association of Malaysia
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik Nova Widianto sebagai jurulatih beregu campuran negara.
BAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jurulatih dari Indonesia berusia 45 tahun telah menandatangani kontrak selama dua tahun selaku pengendali beregu campuran dan akan melapor diri kepada Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky bermula bulan depan.
Rexy dalam kenyataan sama berkata pengetahuan dan pengalaman luas dimiliki Nova sangat bermakna kepada pemain dalam skuad kebangsaan.
"... khususnya apabila kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Paris yang akan bermula tahun depan. Pemain beregu campuran negara teruja dengan prospek memiliki jurulatih berkaliber untuk membimbing mereka," katanya.
Nova, juara dunia dua kali pada 2005 dan 2007 selain pernah meraih pingat perak Sukan Olimpik edisi 2008 bersama gandingannya Liliyana Natsir, adalah antara beregu campuran terhebat pada ketika itu.
Pada April lepas, Paulus Firman dilaporkan melepaskan jawatan sebagai jurulatih beregu campuran dan tempatnya masih belum diisi.
-- BERNAMA
#beregu campuran negara #badminton #jurulatih #Nova Widianto
;