Nova komited lahirkan lebih ramai pemain beregu campuran
Bernama
Mei 26, 2024 16:30 MYT
Mei 26, 2024 16:30 MYT
KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto, komited melahirkan lebih ramai pemain dari sektor berkenaan di bawah badan induk Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bagi merancakkan persaingan di industri badminton tanah air.
Juara dunia dua kali dari Indonesia itu, mengakui Malaysia memerlukan beberapa pasangan beregu campuran lain, bagi memastikan terdapat kesinambungan daripada Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, yang ketika ini menjadi satu-satunya beregu campuran negara yang menyerlah di bawah badan induk BAM.
Malah Tang Jie-Ee Wei telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirai 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
"Kita harus jujur (pemain) perempuan tidak banyak di Malaysia tapi kalau untuk dua, tiga pasangan saya rasa nanti akan ada. (Atlet) senior juga jangan langsung bersara biar Malaysia ada banyak pair yang bagus.
"Memang saya ada sasaran sendiri (dan) kalau boleh lepas ini sektor beregu campuran boleh jadi tumpuan di Malaysia, lagipun dari dulu sudah ada. Chan Peng Soon (dan Goh Liu Ying) pun sudah menang perak di Olimpik 2016, harap kita teruskan atau lebih baik," katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.
Nova berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapan legenda badminton tanah air, Peng Soon yang menggantung 'raket' pada Rabu (22 Mei) agar BAM memberi lebih tumpuan pada beregu campuran, dalam usaha menaikkan semula martabat kategori berkenaan.
Jurulatih berusia 47 tahun itu bagaimanapun berkata tiada masalah sekiranya pemain muda diletakkan dalam dua kategori contohnya seperti Yap Roy King yang bermain di kategori campuran bersama Valeree Siow manakala kategori lelaki bersama Wan Arif Wan Junaidi.
"Tak masalah (main dua kategori) mereka juga belum stabil. Mungkin satu sampai separuh akhir manakala satu lagi pusingan pertama. Kalau cakap penat rasa belum (dan untuk) pengalaman rasa bagus nanti bila senior boleh jadi macam Tang Jie- Ee Wei," katanya.
Terdahulu, Peng Soon meninggalkan BAM pada 2019 dan meneruskan karier sebagai pemain beregu campuran profesional bersama pasangannya Goh Liu Ying.
Mereka berjaya melayakkan diri untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik 2020, penampilan kali ketiga selepas kejayaan meraih pingat perak pada temasya di Brazil pada 2016, di samping kemunculan sulung pada 2012.
Namun, Peng Soon dan Liu Ying memutuskan untuk berpisah pada 2021 dan menyaksikan beliau bergandingan bersama Yee See pada 2022, dan pernah merangkul gelaran Masters Kuala Lumpur 2023.
Pada Rabu, Peng Soon dan Yee See tumpas 10-21, 6-21 kepada Cheng Xing-Li Qian dari China pada pusingan pertama Masters Malaysia 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil.
-- BERNAMA
#jurulatih beregu campuran negara
#Nova Widianto
#Persatuan Badminton Malaysia
#industri badminton tanah air