'NothingToSay' sasar menangi gelaran dunia Dota 2

Bernama
Oktober 24, 2021 22:06 MYT
Selepas menduduki tempat kedua kejohanan 'The International 10' atau TI10, baru-baru ini, pemain profesional Dota 2 Malaysia Cheng Jin Xian, menyasarkan untuk memenangi gelaran itu tahun hadapan. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Selepas menduduki tempat kedua kejohanan 'The International 10' atau TI10, baru-baru ini, pemain profesional Dota 2 Malaysia Cheng Jin Xian, menyasarkan untuk memenangi gelaran itu tahun hadapan.
Pemain berusia 20 tahun yang bersama pasukan profesional PSG.LGD yang berpangkalan di China terlepas peluang untuk merangkul gelaran juara dunia Dota 2 dan hadiah wang tunai US$18.2 juta (kira-kira RM75 juta) selepas tewas 2-3 kepada Team Spirit dari Rusia, pada perlawanan akhir yang berlangsung di Bucharest, Romania.
Walaupun gagal untuk berkongsi memenangi hadiah terkumpul keseluruhan US$40 juta, pemain dilahirkan di Johor Bahru, Jin Xiang dan pasukannya masih membawa pulang hadiah tempat kedua US$5.2 juta (kira-kira RM21.6 juta).
"TI10 merupakan satu pengalaman yang baik untuk saya, cita-cita saya adalah untuk memenangi gelaran itu," kata Jin Xiang yang menjadi pemain profesional pada usia 17 tahun, kepada Bernama.
Beliau yang lebih dikenali dengan gelaran 'NothingToSay', Jin Xiang berkata beliau memulakan kariernya dalam e-sukan dengan bermain bersama rakan-rakannya dalam kejohanan bertaraf rendah, sebelum menyertai pasukan sokongan PSG yang berpangkalan China.
"Saya bermain dengan rakan-rakan, kami buat pasukan dan bermain dalam kejohanan kecil, dan kemudiannya saya sertai pasukan Malaysia tiga tahun lepas. Ia adalah biasa dan kami tidak layak ke mana-mana kejohanan besar. Kemudian saya terima tawaran dari PSG.LGD, peluang untuk ke China. Saya pergi berlatih di China dan berpangkalan di sana selama dua tahun," katanya.
Jin Xiang, yang kini dalam kuarantin di hotel sejak pulang ke Malaysia pada Selasa berkata, beliau masih belum tahu jumlah daripada hadiah yang akan diterimanya yang akan dikongsikan bersama ahli pasukan dan jurulatih, tetapi bercadang untuk menggunakan wang tersebut untuk membeli rumah dan untuk pelaburan.
Disebabkan untuk mendapatkan visa ke China agak sukar pada masa ini, Jin Xiang bercadang untuk berehat selama dua minggu dan menghabiskan masa dengan keluarganya, sebelum meneruskan latihan dan diikuti dengan menyertai kejohanan pada Disember.
Dengan Dota 2 merupakan antara acara e-sukan yang akan membuat penampilan pertama dengan menawarkan pingat di Sukan Asia Hangzhou 2022, Jin Xiang berkata beliau akan mempertimbangkan untuk mewakili Malaysia pada sukan itu jika terpilih.
-- BERNAMA
#NothingToSay #Gelaran Dunia #Dota 2 #Cheng Jin Xian #Malaysia
;