Norza Zakaria cipta sejarah warga Malaysia kedua pegang jawatan naib presiden Majlis Olimpik Asia

Astro Arena
Julai 24, 2024 11:15 MYT
Norza, yang dicalonkan oleh Malaysia, menerima sokongan sebulat suara daripada 10 Ahli Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Asia Tenggara yang lain. - Foto Bernama
PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Norza Zakaria, bakal dilantik sebagai naib presiden bagi Asia Tenggara dalam Perhimpunan Agung Majlis Olimpik Asia (OCA) di New Delhi, India pada 8 September depan.
Dengan tiada lawan lain dalam pemilihan itu, Norza akan mencipta sejarah sebagai warga Malaysia kedua memegang jawatan berprestij berkenaan dalam tempoh empat dekad ini.
Perhimpunan Agung OCA akan menjalankan pemilihan untuk lembaga eksekutifnya bagi penggal 2024-2028, termasuk seorang presiden, lima naib presiden mewakili lima zon, lima ahli dari setiap zon berlainan jantina kepada naib presiden masing-masing, dan dua wakil dari Jawatankuasa Atlet OCA.
Selain itu, 15 pengerusi jawatankuasa tetap berkanun akan dipilih.
Norza, yang dicalonkan oleh Malaysia pada 12 Julai lalu, menerima sokongan sebulat suara daripada 10 Ahli Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Asia Tenggara yang lain, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam.
“Saya berasa rendah diri dan berbesar hati untuk dicalonkan sebagai calon tunggal bagi jawatan naib presiden OCA bagi Zon Asia Tenggara.
“Saya turut berbangga menjadi orang kedua dari Malaysia, selepas Tan Sri Hamzah (Abu Samah), yang dipilih sebagai naib presiden OCA selepas hampir empat dekad,” katanya dalam satu kenyataan.
*Artikel disiarkan di Stadium Astro
#Norza Zakaria #Presiden MOM #bakal dilantik #Naib Presiden Majlis Olimpik Asia