Norza yakin skuad badminton negara 'meletup' di Olimpik Paris

Bernama
Jun 7, 2024 17:15 MYT
Di sebalik prestasi tidak menentu pada beberapa kejohanan Jelajah Dunia, termasuk Masters Malaysia baru-baru ini, Mohamad Norza berkata hal itu bukan pengukur prestasi sebenar pemain negara. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yakin dan percaya bahawa barisan pemain negara akan 'meletup' pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024, yang bakal berlangsung bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Di sebalik prestasi tidak menentu pada beberapa kejohanan Jelajah Dunia, termasuk Masters Malaysia baru-baru ini, Mohamad Norza berkata hal itu bukan pengukur prestasi sebenar pemain negara.
Malah, beliau yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) percaya pemain negara akan mencapai kemuncak prestasi di Paris kelak.
"Katakan mereka muncul juara di Terbuka Thailand, Singapura, adakah kita mahu mereka memuncak di sana? Kita mahu mereka capai prestasi yang tertinggi di Paris 2024. Bagi mereka faedah kesangsian (benefit of the doubt), ataupun sokongan yang tidak berbelah bagi.
"Jika mereka menghadapi saat-saat yang sukar, mereka perlukan kita...kita akan bersama mereka, bukannya kata 'oh kau ini menang tak ada harapan.' Atlet yang dah layak secara merit ini mempunyai peluang yang tinggi dan sebahagian mereka sudahpun Olimpian, mereka tahu apa yang mereka akan hadapi," katanya kepada pemberita di sini.
Mohamad Norza turut menegaskan bahawa kenaikan dan penurunan prestasi pemain negara ketika ini adalah satu proses yang perlu dilalui dan penting untuk mereka terus dibantu supaya dapat mencari jalan penyelesaian bagi berada pada tahap prestasi tertinggi di Paris.
"Yang paling penting mereka dah layak secara merit dan berada dalam 10 terbaik dunia. Terutamanya Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berada di kedudukan lima teratas dunia, kita harus berikan sokongan sebaik-baiknya," tambahnya.
Seramai lima wakil negara berjaya layak ke Paris 2024, iaitu pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia, Goh Jin Wei (perseorangan wanita) Aaron-Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).
Pada sirkit Asia Jelajah Dunia yang bermula dengan Terbuka Thailand pada 14-19 Mei lepas, Zii Jia muncul juara manakala wakil lain negara yang telah layak ke Olimpik tidak beraksi.
Dalam Masters Malaysia dari 21-26 Mei, Zii Jia tewas kepada juara bertahan Olimpik Viktor Axelsen pada final, Tang Jie-Ee Wei dan Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir, juara dunia 2022 Aaron-Wooi Yik (suku akhir) dan Jin Wei tersingkir seawal pusingan kedua.
Pada Terbuka Singapura (28 Mei-2 Jun) yang menyaksikan Zii Jia menarik diri kerana kecederaan, Aaron-Wooi Yik dan Tang Jie-Ee Wei mara hingga suku akhir, namun Pearly-Thinaah dan Jin Wei terkandas seawal pusingan pertama.
Pada Terbuka Indonesia yang sedang berlangsung minggu ini, hanya Zii Jia dan Pearly-Thinaah berjaya melangkah ke suku akhir yang dijadualkan hari ini, manakala Tang Jie-Ee Wei dan Aaron-Wooi Yik masing-masing tersingkir pada pusingan pertama dan kedua.
-- BERNAMA
#skuad badminton Malaysia #Mohamad Norza Zakaria #Sukan Olimpik Paris 2024 #Lee Zii Jia
;