Norza tidak setuju Sukan SEA ditangguhkan ke 2022
Bernama
Jun 7, 2021 05:00 MYT
Jun 7, 2021 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria tidak berapa setuju dengan cadangan untuk menangguhkan Sukan SEA ke-31 ke tahun hadapan.
Mohamad Norza berkata, dengan influks sukan-sukan utama seperti Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing dari 4-20 Feb, Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10-25 Sept), adalah tidak mampu untuk menyediakan atlet untuk satu lagi edisi sukan dalam satu kalendar tahunan yang telah pun padat.
Selain itu, atlet Malaysia juga akan menyertai Sukan Solidariti Islam ke-5 yang dijadualkan pada Ogos di Konya, Turki dan Sukan Asia Dalam Dewan dan Seni Tempur Bangkok-Chonburi pada 10-20 Mac, 2022.
Atlet kita kini sedang bersedia untuk Sukan SEA pada hujung tahun. Saya tidak rasa boleh persiapkan atlet kita untuk berada di puncak prestasi pada satu atau dua temasya pada masa yang sama, apatah lagi ada tiga atau empat temasya sukan.
"Sukan SEA satu acara besar untuk ASEAN, ia akan dibayangi oleh sukan lain, manakala Brunei dan Singapura juga akan bersedia untuk Sukan Komanwel.
"Kami akan bincangkan perkara ini dalam mesyuarat lembaga kami dahulu," katanya ketika dihubungi Bernama.
Mohamad Norza juga mengesahkan yang Vietnam telah meminta kesemua Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) negara peserta untuk mengumpulkan maklum balas dan pandangan untuk menangguhkan sukan dwi-tahunan itu, ke tahun hadapan.
"Mereka mahu menangguhkannya disebabkan peningkatan kes COVID-19, terutamanya di utara Vietnam, di mana banyak kerja-kerja penambahbaikan fasiliti Sukan SEA telah tertangguh.
"Jadi Federasi Sukan SEA (SEAGF) akan mengadakan satu mesyuarat secara dalam talian pada Rabu, untuk mendapatkan maklum balas daripada NOC," katanya.
Laporan sebuah portal berita di Vietnam, Vietnam Net, Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung dari 21 Nov hingga 2 Dis di Hanoi, berkemungkinan ditangguhkan ke Mac atau Jun tahun hadapan, disebabkan peningkatan kes COVID-19 di Vietnam dan negara-negara Asia Tenggara lain.
Laporan berita itu disiarkan tidak sampai sebulan selepas tuan rumah mengesahkan Sukan SEA ke-31 akan berlangsung seperti dijadualkan, ketika mesyuarat SEAGF yang diadakan secara maya pada 18 Mei. Cambodia mengumumkan edisi ke-32 dijadualkan dari 5-16 Mei 2023 di Phnom Penh.
Vietnam menyenaraikan 520 acara daripada 40 jenis sukan untuk edisi tahun ini.
-- BERNAMA
#Mohamad Norza Zakaria
#Sukan SEA
#jadual padat
#Majlis Olimpik Malaysia
#MOM
#Sukan Olimpik Musim Sejuk
#Sukan Komanwel
#COVID-19
#ASEAN