Norza kecewa Malaysia gagal pertahan pingat emas tradisi
Bernama
April 9, 2018 04:59 MYT
April 9, 2018 04:59 MYT
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria kecewa kerana skuad negara gagal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan Komanwel 2018, selepas kecundang 1-3 kepada India.
Beliau juga tidak berpuas hati dengan prestasi beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tewas kepada gandingan India Satwik Rankireddy-Ashwini Ponnappa, pasangan yang bukan dalam senarai ranking tertinggi dunia.
"Saya hendak lahirkan rasa kecewa kerana (secara) tradisi, kita sentiasa memenangi pingat emas di Sukan Komanwel bagi berpasukan campuran. Hari ini kita gagal mencapai misi tersebut apabila kalah dengan India 1-3.
"Kita lihat kita bergantung kepada pemain senior, hari ini terbukti bahawa kita tidak bersedia untuk berdaya saing dengan pasukan-pasukan seperti India... hari ini kita gagal dalam acara beregu campuran kita dan Chong Wei (Datuk Lee Chong Wei)," katanya.
Namun dalam kekecewaan itu, Mohamad Norza memberi pujian kepada perseorangan wanita negara Soniia Cheah yang mempamerkan semangat dan corak permainan luar biasa dengan mengetepikan kecederaan buku lali yang dialaminya sebelum ini.
"Saya sudah rujuk dengan doktor dan pakar fisiologi, mereka tidak mahu membenarkan Soniia bermain sebab ia mungkin menjejaskan peluangnya untuk beraksi dalam acara individu.
"Tapi dia (Soniia) hendak main dan kita tidak ada simpanan perseorangan wanita. Oleh itu, kita benarkan dan dia bermain dengan sangat baik serta mencapai tahap yang diharapkan.
"Bila bertarung dengan pemain di ranking ke-12 dunia di kala pasukan sudah di ambang kekalahan, itu adalah cabaran besar yang perlu dipikul Soniia... dia buat dengan baik dan kredit harus diberikan kepada Soniia," katanya.
Sementara itu, Mohamad Norza meminta para pemain melupakan kekalahan pada Isnin dan kembali memberi fokus kepada acara individu.
Beliau optimis badminton mampu meraih tiga emas yang disasarkan dan berharap para pemain memberi tumpuan dan aksi yang menyakinkan kerana yakin hasil akan lebih positif jika para pemain berbuat demikian.
"Kita ada beregu lelaki, Chong Wei dalam perseorangan lelaki, ada beregu wanita dan juga ada beregu campuran. Saya yakin Soniia boleh pergi jauh dengan beberapa upset yang dilakukan sebelum ini," katanya.
Dalam pada itu, Soniia ketika ditemui berkata beliau agak terkilan kerana tidak dapat membantu skuad negara menyumbang mata untuk menyamakan kedudukan namun, beliau telah berusaha bersungguh-sungguh termasuk mengetepikan kecederaan yang dialaminya.
Katanya beliau tidak mahu memberi kemenangan mudah kepada India sebaliknya mahu terus bertarung tidak kira apa keputusan yang bakal terhasil dalam perlawanan akhir di Carrara Sports and Leisure Centre.
"Saya terkilan kerana tidak dapat menyumbang mata untuk pasukan. Saya sudah pun berusaha sedaya mungkin tetapi dia (Saina Nehwal) adalah pemain ranking tinggi dan lebih berpengalaman."
Soniia akan kembali beraksi dalam acara perseorangan wanita esok tetapi memperoleh bye pada pusingan awal.
-- BERNAMA
#badminton
#BAM
#beregu campuran
#berpasukan campuran
#India
#Lee Chong Wei
#Malaysia
#Mohamad Norza Zakaria
#pingat emas
#Sukan Komanwel 2018
#tradisi