Norhafiz Zamani umum persaraan, ceburi bidang kejurulatihan

Astro Arena
Januari 14, 2021 05:33 MYT
NORHAFIZ ZAMANI: Disebabkan umur saya sudah menjangkau 40 tahun, bagi meneruskan minat dalam bola sepak, saya perlu menceburi bidang kejurulatihan. - Astro ARENA
BEKAS pertahanan negara, Norhafiz Zamani Misbah, menganggap sudah tiba masanya untuk dia beralih ke bidang kejurulatihan selepas dua dekad mewarnai Liga Malaysia sebagai pemain -- bermula 2001.
Dengan mengumumkan persaraannya pada usia 40 tahun, bekas pertahanan Negeri Sembilan itu akan membuka lembaran baru sebagai penolong jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dia berkata: "Kalau diikutkan memang saya rasa nak main lagi tetapi disebabkan umur saya juga sudah menjangkau 40 tahun, saya rasa bagi meneruskan minat saya dalam bola sepak, saya perlu menceburi bidang kejurulatihan.
"Kalau boleh saya mahu berkongsi pengalaman selama 20 tahun saya dalam arena bola sepak ini. Segala yang saya ada, pengalaman saya, saya mahu mencuba untuk mengongsikannya bersama pemain muda," katanya.
Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain, dan bekas pengendali Felda United, Nidzam Jamil, merupakan bekas pemain yang sezaman dengan Norhafiz Zamani.
Mengulas mengenai dua rakannya itu, dia menambah: "Mereka merupakan mentor saya. Saya dapat melihat bagaimana mereka dapat menjadi jurulatih yang bagus pada usia muda.
"Jadi, saya memasang cita-cita untuk menjadi seperti mereka."
#Norhafiz Zamani Misbah #bola sepak #Liga Malaysia #pemain #jurulatih #Nadi Arena #Negeri Sembilan #pertahanan #Akademi Mokhtar Dahari #penolong jurulatih #Nafuzi Zain #AMD #bersara
;