Nor Farhan mahu balas kepercayaan Kafa musim depan

Bernama
November 28, 2017 06:09 MYT
Mohd Nor Farhan percaya musim 2018 adalah masa sesuai bagi beliau untuk mengejar slot dalam kesebelasan utama. - Bernama
PENYERANG Kelantan Mohd Nor Farhan Muhammad mahu menggunakan kepercayaan diberikan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk memulihkan semula prestasi beliau bersama pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Mohd Nor Farhan percaya musim 2018 adalah masa sesuai bagi beliau untuk mengejar slot dalam kesebelasan utama setelah hampir dua musim tersisih.
"Kecederaan dialami saya sebelum ini telah pulih sejak musim lalu (2016). Namun nasib saya kurang baik apabila gagal beraksi lebih banyak dalam beberapa perlawanan yang diharungi pasukan musim ini," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.
Pemain berusia 33 tahun itu sah kekal bersama skuad The Red Warriors (TRW) apabila kontraknya disambung selama setahun.
Akhbar sebelum ini melaporkan KAFA sedang merundingkan kontrak bersama pemain berkenaan.
Sementara itu, Presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan pemain kelahiran Wakaf Tapai, Terengganu, itu kekal bersama TRW setelah rundingan kedua-dua pihak berjaya mencapai persetujuan bersama.
"Mohd Nor Farhan akan bersama kami selama setahun pada musim depan dan diharapkan dengan mengekalkan pemain itu, ia dapat menyuntik semangat pemain lain terutamanya pemain baharu dan muda," katanya.
-- BERNAMA
#bola sepak #KAFA #Kelantan #liga m #Mohd Nor Farhan Muhammad #prestasi pasukan #sukan
;