Nor Farah Ain tidak percaya bergelar juara dunia

Bernama
April 29, 2024 22:28 MYT
Nor Farah Ain berkata kemenangan mudah dalam acara perseorangan wanita 6-2, 6-3 mengatasi lawan dari Malta Connie Rixon menyemarakkan lagi semangatnya untuk memikul tanggungjawab lebih besar pada kejohanan akan datang. - Gambar fail/Stadium ASTRO
SEPANG: Atlet boling padang negara Nor Farah Ain Abdullah masih tidak percaya sudah bergelar juara dunia pada penampilan sulungnya di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada Sabtu.
Atlet berusia 23 tahun itu berkata kemenangan mudah dalam acara perseorangan wanita 6-2, 6-3 mengatasi lawan dari Malta Connie Rixon menyemarakkan lagi semangatnya untuk memikul tanggungjawab lebih besar pada kejohanan akan datang.
"Kali pertama mewakili negara di kejohanan yang jauh dan saya rasa macam mimpi lagi walaupun dah menang dan pegang pingat emas. Macam betul ke ni aku dah jadi juara?
"Di sana, bukan calang-calang lawan kita tetapi saya tanamkan dalam fikiran, main saja. Ada rezeki, adalah. Yang penting buat terbaik dan alhamdulillah saya dapat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLI) di sini hari ini.
Terdahulu, Nor Farah Ain membantu skuad negara meraih gangsa dalam acara berpasangan campuran bersama Izzat Shameer Dzulkeple, yang turut menyumbang pingat perak acara perseorangan lelaki.
Pada edisi kali ini, Malaysia meraih masing-masing satu emas, perak dan gangsa sekali gus muncul juara keseluruhan kejohanan itu.
Sementara itu, Izzat Shameer berkata walaupun melalui 'drama' kehilangan beg di lapangan terbang setibanya di Guernsey dan hanya menjumpainya selepas tiga hari, namun ia satu pengalaman baharu dan tidak mematahkan semangatnya.
"Hari pertama (latihan) sebenarnya memang agak bergelut sebab bola mereka sediakan jauh berbeza. Bola kita garisan kecil sikit tapi bola disediakan agak garisan besar jadi bila dapat bola sendiri baru rasa yakin," katanya.
Izzat Shameer yang pernah membuat penampilan sebanyak dua kali iaitu pada 2013 dan 2023 dan hanya mara ke suku akhir, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira apabila penampilan kali ketiga telah membuahkan hasil.
-- BERNAMA
#juara dunia #memikul tanggungjawab #pingat emas #muncul juara
;