Noorul Ariffin serah kepada Hannah putuskan kedudukan Pengerusi YAKEB
Bernama
Februari 26, 2025 13:00 MYT
Februari 26, 2025 13:00 MYT
Noorul Ariffin berkata banyak usaha membanggakan dibawanya termasuk faedah pencen ilat buat beberapa bekas atlet. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed menyerahkan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk menentukan kedudukan beliau di yayasan itu setelah tempoh perkhidmatannya bakal berakhir 7 Mac ini.
Noorul Ariffin yang telah disambung perkhidmatan sebanyak dua kali setelah menggalas jawatan itu sejak Mac 2019 berkata banyak usaha membanggakan dibawanya termasuk faedah pencen ilat buat beberapa bekas atlet, hasil inisiatif bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Beliau berkata semua pihak di YAKEB termasuk lembaga pengarah telah melakukan yang terbaik untuk membantu bekas atlet, namun kuasa melantik berada di tangan menteri dan Hannah pastinya mengetahui apa yang terbaik.
"Pencapaian terbaik saya adalah membantu bekas atlet mendapatkan pencen ilat dengan yang terbaru menerimanya adalah bekas pemain skuasy Kenneth Low. Ia kejayaan besar buat saya dan YAKEB, bukan senang dapat buat banyak usaha untuk bekas atlet," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Kenneth yang sebelum ini dilaporkan bekerja sebagai petugas pembersihan dipercayai mengalami strok yang menyebabkan masalah koordinasi dan kemahiran motor, masalah kognitif dan gangguan ingatan jangka pendek.
Pencen ilat Perkeso merupakan bantuan berterusan kepada individu yang mengalami keilatan disebabkan kemalangan dan penyakit yang menyebabkan seseorang tidak mampu lagi untuk bekerja.
Beliau pada masa sama gembira dapat membantu YAKEB mengatasi kekangan kewangan dengan berjaya menyelesaikan hutang RM1 juta sebelum dapat meningkatkan kantung kewangan mereka sebanyak RM3 juta setakat ini.
Sekiranya tidak dapat meneruskan khidmatnya untuk menerajui YAKEB, Noorul Ariffin berharap agar mana-mana individu yang menggantikannya dapat memacu yayasan berkenaan ke tahap lebih baik terutamanya dalam menjaga kebajikan lebih 3,000 ahlinya di seluruh negara.
-- BERNAMA