Tuan rumah bermula cemerlang di hadapan penyokong sendiri dengan membenam Croatia 3-1 dalam perlawanan pembukaan, Jerman mempamer kehebatan dengan membelasah Potugal 4-0, Belanda gah dalam aksi pertama kempen dengan memalukan penyandang juara, Sepanyol 5-1 dan Argentina dibayangi magis Messi.
Justeru para peminat bola sepak seluruh dunia mula memuat ramalan dan andaian pasukan manakah yang bakal melangkah ke final Piala Dunia FIFA 2014.
German dilihat menjadi pilihan ramai untuk menundukkan Brazil dalam aksi separuh akhir pertama ekoran tuan rumah kehilangan ‘ayam tambatan’ yang menjadi watak penting misi Brazil menjulang Piala Dunia di laman sendiri, Neymar yang terpaksa disingkirkan akibat kecederaan tulang belakang, ditambah faktor rekod cemerlang pasukan bimbingan Joachim Leow yang meraih tempat ketiga dalam dua edisi yang lepas berturut-turut. Pastinya Jerman kali ini memiliki iltizam yang lebih kuat untuk memperbaiki pencapaian tersebut.
Bagaimanapun ‘hantu’ tuan rumah tidak boleh diketepikan. Sejarah penganjuran Piala Dunia membuktikan banyak negara menjulang piala keramat itu pada ketika kejohanan dianjurkan di tanah air mereka.
Contohnya Jerman Barat pimpinan ‘Der Kaiser’, Fraz Beckenbauer menjadi juara ketika Piala Dunia dianjurkan di negara mereka pada 1974, empat tahun kemudian Mario Kempes membawa Argentina ke puncak dunia dan dua tandukan Zinedine Zidane membenam juara empat kali ketika itu, Brazil di hadapan penyokong Les Blues pada 1998. Argentina dan Perancis menjulang Piala Dunia buat kali pertama di halaman sendiri.
(Dari kanan) Thierry Henry, Didier Deschamps dan Lilian Thuram antara tonggak utama Perancis dalam kemenangan di Stade de France ke atas Brazil pada final edisi 1998. - Gambar AP
Walaupun Argentina memiliki pemain terbaik dunia empat kali, Lionel Messi, ramai yang memilih Oranje untuk melangkah ke final buat kali keempat. Dibarisi pemain bintang yang berada di prestasi kemuncak dan pemain muda yang boleh diharap pastinya memberikan keyakinan buat skuad Louis van Gaal untuk menjulang Piala Dunia pertama buat negara kincir angin itu.
Argentina sedikit pincang dengan ketiadaan pemain sayap Real Madrid, Angel Di Maria yang turut terkeluar dari kempen dek kecederaan hamstring yang dialami ketika perlawanan menentang Belgium di suku akhir, bagaimanapun berita kembalinya peledak gol Manchester City, Sergio Arguero pulih dari kecederaan sedikit melegakan kem Argentina.
Dalam orang ramai meramal pasukan yang beraksi di pentas akhir berdasarkan prestasi dan keadaan semasa setiap pasukan, saya melihatnya dari sudut yang berbeza.
Empat tahun lepas, Sepanyol bergelar juara dunia buat kali pertama selepas menewaskan Belanda dengan gol tunggal perlawanan dijaringkan Andres Iniesta. Ingatkah anda pada jenama yang terpampang di dada pasukan Sepanyol dan Belanda ketika itu?
Sepanyol gagal teruskan kecemerlangan apabila gagal melepasi peringkat kumpulan dalam kempen di Brazil. - Gambar AP
Penganjuran bersama Korea Selatan dan Jepun pada 2002 menyaksikan Brazil menjulang Piala Dunia buat kali kelima selepas German tewas 2-0. Jersi pasukan Brazil ditaja oleh syarikat pengeluar barangan sukan Amerika Syarikat, Nike manakala Jerman ditaja syarikat tempatan, Adidas.
Pemain Jerman, Miroslav Klose (kiri) diasak dua pemain Brazil ketika aksi final Piala Dunia 2002 di Korea/Jepun. - Gambar AP
Final edisi 1998 menyaksikan buat kali pertama Adidas yang telah lama kukuh sebagai jenama pengeluar barangan bola sepak ‘dicabar’ oleh sebuah jenama yang sedang meningkat naik ketika itu, Nike. Bagaimanapun ‘orang baru’ gagal menundukkan ‘otai’ apabila perlawanan di Stade de France dimenangi Adidas (Perancis pada ketika itu ditaja Adidas menewaskan Brazil yang ditaja Nike 3-0).
Kecuali dalam edisi 2006, Nike gagal untuk ke pentas akhir manakala pesaing terhebatnya Adidas cemerlang bersama Perancis. Bagaimanapun jenama yang diasaskan oleh Adolf ‘Adi’ Dassler pada 1924 itu tewas kepada adik jenamanya, Puma yang menaja Itali sekaligus merangkul gelaran keempat (Puma diasaskan pada 1948 oleh abang Adolf Dassler, Rudolf Dassler).
Dan aksi separuh akhir di Brazil tahun ini menyaksikan dua pasukan ditaja Adidas (Jerman dan Argentina) akan bertarung dengan dua pasukan tajaan Nike (Brazil dan Belanda) untuk merebut tiket ke final.
Brazil merupakan 'anak emas' syarikat barangan sukan gergasi dari Amerika Syarikat, Nike. - Gambar AP
Dalam era bola sepak moden ini, pentas final Piala Dunia pada sudut lain turut menjadi pentas ‘peperangan’ antara dua jenama gergasi, Adidas dan Nike. Memang seperti tidak masuk akal dan mengarut tapi ada kemungkinannya, bukan?
Jadi, final Piala Dunia FIFA 2014: Brazil lawan Belanda atau Brazil lawan Argentina atau Jerman lawan Belanda atau Jerman lawan Argentina?
Sama-sama kita nantikan, ramalan siapa yang mengena.