Nik Nazmi tawar diri bertanding jawatan Presiden KLFA
Hasimi Muhamad
Ogos 8, 2024 22:49 MYT
Ogos 8, 2024 22:49 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad akhirnya mengesahkan menawarkan diri bertanding bagi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
Dalam satu video yang dimuat naik di TikTok pada Khamis, Nik Nazmi berkata ia satu amanah yang besar untuk mengembalikan kepercayaan peminat bola sepak dan sudah tiba masanya mengembalikan maruah bola sepak Kuala Lumpur.
Nik Nazmi yang juga penaung Kelab Bolasepak Setiawangsa Rangers (SRFC) berkata, beliau telah mengadakan siri perbincangan dengan tokoh-tokoh korporat, profesional, dan institusi kerajaan bagi bersama-sama wakil kelab-kelab gabungan untuk mengemudi KLFA.
"Kemelut yang melanda pasukan KL City FC telah mendapat perhatian yang meluas akhir-akhir ini. Sebagai peminat dan juga wakil rakyat ibu kota, saya juga turut terkesan dengan tindakan ini.
"Namun di sebalik perbelanjaan yang lebih kecil dan pelbagai masalah yang melanda, semangat #sampaimatiKualaLumpur jelas dihayati oleh pemain-pemain KL City sehingga kita mencapai keputusan yang baik dan mendapat kedudukan yang tinggi di dalam Liga Super," katanya dalam rakaman video tersebut.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata pihaknya menawarkan tiga tonggak untuk melonjakkan bola sepak Kuala Lumpur iaitu kelestarian organisasi dan kewangan menerusi perkongsian pintar sebagai pusat komersial negara.
Selain itu, ujarnya, Kuala Lumpur sebagai ibu kota dan menyatupadukan warga kota.
"Kita memerlukan persatuan bola sepak yang berkesan di dalam membina ekosistem yang sihat dari peringkat akar umbi hingga pasukan profesional," katanya.
Sebelum ini, nama Nik Nazmi dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil antara yang disebut-sebut akan merebut jawatan sebagai presiden KLFA.
Jawatan Presiden KLFA ketika ini dipangku Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid selepas Khalid Samad melepaskan jawatan itu pada Mac lalu.