Nigeria optimis juarai Piala Afrika

Astro Awani
Februari 10, 2013 13:52 MYT
Nigeria optimis mampu menamatkan penantian lebih 20 tahun apabila berdepan Burkina Faso awal pagi nanti bagi saingan akhir menjelang Piala Negara-negara Afrika (AFCON).
Bagi ketua jurulatihnya, Stephen Keshi, beberapa pemain yang masih belum cergas sepenuhnya bukan lah alasan untuk pasukan itu beraksi hambar.
Tahap kecergasan dua penyerangnya, Emmanuel Emmenike dan Victor Moses juga menjadi isu utama kepada pasukan Nigeria.
Namun Keshi yakin, senarai pemain yang ada mampu membantu pasukan itu menjulang kejuaraan.
“Kita bukan lah seratus peratus yakin jika dia (Victor Moses) tidak boleh bermain. Kita mungkin akan tahu lebih lanjut esok pagi.
“Namun dah ada banyak peningkatan, tetapi jika beliau tiada esok... tak mengapa... kita ada 23 pemain. Seseorang perlu ambil alih tugas beliau,” kata beliau.
Ini adalah aksi pertama Nigeria di pentas final selepas 13 tahun.
Ujar Keshi, meskipun pasukannya dilihat sebagai pilihan kejuaraan, beliau tidak memandang rendah keupayaan pasukan Burkina Faso.
Oleh itu dia mengambil pendekatan waspada dan merancang strategi terbaik untuk kejayaan pasukannya.
Sementara itu, pasukan Burkina Faso turut menjalani latihan terakhir sebelum berdepan Nigeria.
Jurulatihnya, Paul Put, menarik nafas lega apabila pemainnya Jonathan Pitroipa dapat kembali beraksi selepas penggantungan ditarik balik.
“Tidak... kami amat gembira CAF telah membuat keputusan bahawa Pitroipa akan bermain pada perlawanan akhir.
“Saya rasa ramai yang turun ke stadium untuk melihat pemain-pemain seperti beliau, jadi kami gembira dan penyokong di stadium pun turut gembira,” kata Put.
Malah dengan keputusan itu, Put beranggapan tuah kini memihak kepada mereka.
Tegasnya lagi, burkina faso bakal mempersembahkan aksi terbaik bagi memastikan kejuaraan menjadi milik mereka buat kali pertama.
Pasukan yang berada di tangga ke-23 dalam kalangan negara-negara Afrika itu mara ke final buat pertama kali selepas tahun 1998.
#Burkina Faso #Nigeria #Paul Put #Piala Negara-Negara Afrika #Stephen Keshi
;