Nigeria hadapi tugasan sukar benam Argentina, Iran pula sedia menyusul
Aizat Sharif
Jun 25, 2014 22:33 MYT
Jun 25, 2014 22:33 MYT
Selepas tumbangnya dua rakan wakil Afrika iaitu Cameroon dan Ivory Coast, pasukan Nigeria pula berdepan misi sukar untuk kekal dan layak ke pusingan kalah mati apabila berdepan dengan bekas juara Piala Dunia 1978 dan 1986, Argentina dalam perlawanan terkahir Kumpulan F di Estadio Beira-Rio di Porto Alegre awal pagi nanti.
Nigeria yang kini berada di tangga kedua Kumpulan F dilihat hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke pusingan kedua namun keputusan seri sahaja bukanlah memadai kerana walaupun Argentina sudah pun melayakkan diri ke peringkat seterusnya, negara itu akan sedaya upaya memastikan rekod tanpa kalah mereka dalam kempen Piala Dunia ini terus kekal.
Selain Nigeria, sandaran Asia, Iran turut mengintai peluang untuk layak ke pusingan kalah mati setelah dua wakil Asia, Australia dan Jepun tersungkur di peringkat kumpulan dan berdepan Bosnia-Herzegovina bukanlah mudah kerana pasukan Balkan itu mencari kemenangan pertama dalam kempen sulung Piala Dunia mereka.
Iran berpeluang untuk layak seandainya mampu menewaskan Bosnia-Herzegovina dengan jaringan besar sambil mengharapkan Argentina membenam Nigeria.
Sudah tentu pemain-pemain yang akan menjadi perhatian untuk perlawanan Kumpulan F ini adalah seperti Lionel Messi (Argentina), Peter Odemwingie (Nigeria), Ashkan Dejagah (Iran) dan Miralem Pjanic (Bosnia-Herzegovina).
Sementara itu, persaingan dalam Kumpulan E pula lebih terarah kepada perebutan satu lagi slot ke pusingan kalah mati antara Ecuador dan Switzerland.
Switzerland akan bertemu Honduras manakala Ecuador pula akan bertemu Perancis yang sudah pun melayakkan diri ke peringkat kalah mati.
Ecuador sudah tentu mahu turut sama menyertai barisan negara Amerika Selatan seperti Brazil, Chile, Colombia dan Argentina yang layak ke pusingan seterusnya dan kekalahan kepada juara Piala Dunia 1998 hanya akan merencatkan impian tersebut.
Perancis pula meskipun sudah mengesahkan tempat antara 16 pasukan terbaik yang layak ke pusingan kedua Piala Dunia akan memastikan rekod tanpa kalah mereka terus dijaga disamping mahu mengelakkan daripada bertemu dengan Argentina.
Switzerland yang turut berkongsi tiga mata dengan Ecuador turut mahu layak ke pusingan seterusnya apabila berdepan dengan Honduras dan hanya kemenangan di pihak Switzerland selain mengharapkan Perancis mengalahkan Ecuador sahaja yang boleh meneruskan kemaraan Switzerland.
Selain itu, Switzerland juga mahu panji Eropah terus berkibar di bumi Brazil selepas beberapa bekas Juara Piala Dunia seperti Sepanyol, England dan Itali termasuk Croatia telah tersingkir awal di peringkat kumpulan.
Pemain-pemain yang bakal menjadi tumpuan dalam Kumpualn E ialah Granit Xhaka (Switzerland), Enner Valecia (Ecuador), Karim Benzema (Perancis) dan Carlo Costly (Honduras).
RAMALAN ASTRO AWANI: Honduras..0 Switzerland..3, Ecuador..1 Perancis..3, Nigeria..1 Argentina..2, Bosnia-Herzegovina..2 Iran..1