Nidzam puas hati tapi mahu kemenangan jadi satu kebiasaan buat Selangor

Bernama
Oktober 7, 2024 15:15 MYT
Nidzam berpuas hati dengan persembahan dan kedudukan pasukan bimbingannya dalam kesemua kejohanan sebelum jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dari 7-15 Okt ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Selangor FC Nidzam Jamil berpuas hati dengan persembahan dan kedudukan pasukan bimbingannya dalam kesemua kejohanan sebelum jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dari 7-15 Okt ini.
Nidzam berkata pasukan Gergasi Merah menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila gawang golnya tidak dibolosi dalam tiga aksi terakhir termasuk kemenangan 1-0 ke atas Dynamic Herb Cebu dari Filipina dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2 (ACL2) 2024/25 Khamis lepas.
"Kita masih belum kalah pada ACL2, bolos satu dan jaringkan dua gol (termasuk seri 1-1 menentang wakil Thailand Muangthong United dalam aksi pembukaan kumpulan).
"Saingan liga (Liga Super) pula kita tidak bolos dalam dua perlawanan terakhir di samping berjaya menjaringkan gol ketika melawan Kuching City dan Terengganu. Jadi kita tak bolos dalam tiga perlawanan terakhir (semua pertandingan), saya rasa itu agak baik," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Selangor kini berada di tangga kedua Liga Super dengan mengumpul 25 mata, dipisahkan enam mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT) selain turut menghuni tempat kedua dalam saingan Kumpulan H ACL2 selepas mengutip empat mata.
Walaupun mencatatkan momentum positif, pengendali berusia 44 tahun itu tetap mengingatkan pasukannya supaya sentiasa berusaha menjadi yang terbaik selain bermain seperti diimpikan penyokong dan menjadikan kemenangan sebagai satu rutin.
"Ini adalah bola sepak, sudah tentu kita mahukan kemajuan, bertambah baik dan bermain (seperti) impian kebanyakan penyokong tetapi kita tidak boleh bandingkan pasukan kita dengan pasukan lain.
"Kita kena betul-betul pastikan kehadiran kita diakui, jadikan menang sebagai sebagai satu kebiasaan dan apabila menang (tapi) ada peminat rasa permainan tak begitu menarik, barulah itu boleh jadi isu. Namun buat masa ini, Selangor masih belum capai tahap itu seperti pasukan JDT," katanya.
Bekas pemain Selangor itu pernah menjadi penolong ketua jurulatih serta ketua jurulatih sementara Gergasi Merah sebelum akhirnya diberi kepercayaan membimbing pasukan itu bagi mengharungi musim 2024/2025.
Beliau berjaya membawa Selangor sehingga ke ambang menamatkan kemarau kejuaraan selama sembilan tahun apabila mara ke final Piala FA, namun tewas 1-6 kepada JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini Ogos lepas.
Selangor akan melawan PDRM pada 19 Okt diikuti aksi kumpulan ACL2 bertemu wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors (23 Okt) dan menentang JDT pada 27 Okt selepas jendela perlawanan antarabangsa FIFA berakhir.
Juara Piala Malaysia 33 kali itu setakat ini turut mengekalkan rekod kemenangan di tempat sendiri dalam semua pertandingan musim ini.
-- BERNAMA
#FIFA #Nidzam Jamil #Piala FA #Selangor FC
;