Nidzam Jamil bakal naik pangkat sebagai pengendali tetap Selangor
Astro Arena
Mac 10, 2024 07:30 MYT
Mac 10, 2024 07:30 MYT
JURULATIH 'interim' Selangor FC, Nidzam Jamil, tampak jadi pilihan untuk dinaikkan pangkat sebagai pengendali pasukan secara tetap menjelang saingan Liga Malaysia 2024/25.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon ketika ditemu bual Zulhelmi Zainal Azam mengesahkan bekas jurulatih Thailand, Alexandre 'Mano' Polking tidak akan dilantik untuk mengemudi The Red Giants.
"Kita akan buat pengumuman dalam masa terdekat (seminggu) siapa jurulatih yang kita lantik untuk bawa Selangor.
"Bagi saya, Polking adalah jurulatih yang bagus tapi dia bukan dalam senarai pendek kami," kata Johan.
Polking jadi calon pilihan peminat selepas namanya dikaitkan ke Selangor selain jurulatih Kedah Darul Aman, Nafuzi Zain.
Ia bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang menamatkan kontrak menerusi persetujuan bersama dengan pasukan itu bulan lalu.
Kelab berkenaan kemudian mengumumkan Nidzam sebagai jurulatih 'interim' sekali gus mengetuai persiapan pramusim pasukan.
Mereka kini perlu bijak membuat keputusan mengenai pelantikan jurulatih baru susulan sudah lengkap dengan barisan pemain.
"Empat orang jurulatih berada dalam senarai pendek, tiga import dan satu lokal.
"Ini adalah antara cabaran buat jurulatih baru, sebab pemain pun sudah penuh untuk lengkapkan pasukan, bajet kita pun dah ditetapkan dengan perbelanjaan untuk mengambil jurulatih baru.
"Setakat ini, jurulatih yang kita temubual kami dah beritahu awal dengan keadaan bajet yang ada, jadi mereka perlu bekerja dengan apa yang kita tawarkan sahaja.
"Mereka semua setuju, jadi mungkin semuanya berjalan dengan lancar," tambah Johan.
Sementara itu, Nidzam menerusi Nadi Weekend berkata, sedia menggalas tanggungjawab besar andai diberi kepercayaan oleh pihak pengurusan untuk mengendalikan pasukan sepenuhnya musim ini.
Pengendali yang dilabel sebagai 'Jurgen Klopp' Malaysia itu juga menyambut baik keputusan kelab untuk membawa jurulatih asing dalam pasukan.
"Setakat ini, saya masih jurulatih interim.
"Peranan saya, tenaga saya, tumpuan saya, pengalaman tidak berubah jika kelab mahu meletakkan saya sebagai ketua jurulatih.
"Sama seratus peratus seperti saya mula menyertai tiga tahun lalu dan esok tetap sama, apa pun peranan saya tetap sama untuk Selangor," katanya.