Nidzam intai kejuaraan sulung Piala FA bersama Kedah
Bernama
Mei 19, 2017 23:49 MYT
Mei 19, 2017 23:49 MYT
Pemangku ketua jurulatih Kedah, Muhd Nidzam Adzha Yusoff mengintai kejuaraan sulung Piala FA sebagai pengendali skuad Lang Merah yang akan menentang Pahang pada aksi final di Stadium Shah Alam, Selangor, esok.
Walaupun di atas kertas pasukannya dilihat mempunyai peluang cerah merangkul kejuaraan berdasarkan aksi cemerlang mereka sejak kebelakangan ini, bekas pemain Perak dan Kedah era 90-an itu tetap berwaspada dengan ancaman daripada skuad bimbingan Dollah Salleh.
Muhd Nidzam berkata pasukannya berada dalam prestasi terbaik selain tiada tekanan untuk beraksi di perlawanan akhir itu memandangkan sebahagian besar pemainnya mempunyai pengalaman bermain di final Piala Malaysia menentang Selangor di gelanggang sama tahun lalu.
"Semua pemain tidak tertekan dan sangat fokus untuk aksi esok. Mereka juga amat selesa untuk beraksi di Stadium Shah Alam yang mempunyai kualiti padang yang baik.
"Alang-alang sudah sampai ke final, kita akan cuba sedaya-upaya untuk muncul juara," katanya kepada pemberita pada sidang media praperlawanan final Piala FA, di sini hari ini.
Sebagai rekod, Muhd Nizam pernah menjulang Piala FA sebanyak dua kali sebagai pemain iaitu pada 1990 bersama Perak iaitu tahun pertama piala itu dipertandingkan, dan pada 1996 ketika bersama Kedah.
Berkongsi pandangan sama adalah kapten pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari yang bertekad membawa Piala FA pulang ke Alor Setar setelah pasukan berkenaan kalah 4-5 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Negeri Sembilan pada 2010 setelah kedua-dua pasukan seri 1-1 pada aksi penuh perlawanan.
"Secara jujur memang saya tak sangka kami dapat mara ke final dan saya berterima kasih kepada pengurusan Kedah yang sangat komited.
"Moral pemain semuanya berada dalam keadaan yang baik serta tidak sabar untuk turun beraksi dan melakar kejayaan," katanya.
Sementara itu, Dollah mengakui Kedah mempunyai kelebihan dari segi persefahaman antara pemain namun berjanji pemain skuad Tok Gajah akan memberi tentangan sengit untuk memastikan Piala FA kembali ke bumi Darul Makmur.
"Kedah adalah pasukan yang konsisten sepanjang Liga Malaysia manakala Pahang masih berada dalam keadaan terumbang-ambing apabila saya mengambil alih pasukan ini lima bulan lalu.
"Namun saya percaya semua pemain mampu mencatat keputusan yang positif pada perlawanan esok," tegas Dollah yang membantu Pahang muncul juara Piala Malaysia pada 2013.
Sementara itu, ketua pasukan Pahang, Matthew Davies gembira dapat beraksi dalam final pertamanya bersama Pahang selepas menyertai pasukan tersebut dari kelab Liga Australia, Perth Glory FC pada April 2015.
"Inii adalah final pertama saya dan pastinya satu pengalaman baharu. Ia tentunya lebih hebat jika kami mampu muncul juara di depan penyokong kami," kata Davies yang merupakan pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia.
-- BERNAMA