Nidzam Adzha tiada kelayakan kemudi Kuala Lumpur musim depan

Astro Arena
Oktober 16, 2020 07:46 MYT
Nidzam berharap KLFA akan segera menemui penggantinya demi masa depan pasukan itu. - Foto Astro ARENA
KETUA jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff, terpaksa diturunkan pangkat meskipun membawa skuad The City Boys itu ke kancah Liga Super musim depan.
Ia selepas pengendali kelahiran Taiping, Perak itu masih belum memiliki lesen kejurulatihan Pro A, sekali gus hanya melayakkannya untuk bertindak sebagai penolong jurulatih pasukan itu musim depan.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pada Jumaat.
"Saya sudah berbincang dengan Nidzam, mungkin saya akan menggunakannya sebagai penolong jurulatih.
"Tentang ketua jurulatih, kita kena tengok dulu. Saya menggemari ketua jurulatih yang nampak tidak akan menyusahkan jurulatih lain.
"Sebab apabila kami memilih ketua jurulatih, saya tidak mahu seorang yang tidak boleh bersama dengan jurulatih sedia ada.
"Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan untuk mengambil ketua jurulatih yang tidak akan menggangu dan boleh bekerjasama dengan semua jurulatih sedia ada," katanya.
Pengesahan itu menimbulkan persoalan mengenai siapa yang akan dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.
Nokman mengakui KLFA sedang berunding dengan beberapa jurulatih tetapi memberikan bayangan pasukan itu akan lebih cenderung untuk menggunakan kepakaran asing.
"Ada beberapa jurulatih (luar negara) yang kami nampak. Kemudian ada juga jurulatih daripada Singapura yang dikenal pasti.
"Cuma, apa yang kami mahukan ketika ini adalah jurulatih yang boleh bersama kami dan perlu melihat juga gaji yang kami mampu berikan," tambahnya.
Sementara itu, Nidzam Adzha menerima keputusan itu dengan rela hati berdasarkan kelayakannya pada ketika ini.
Bagaimanapun, bekas jurulatih Kedah itu berharap KLFA akan segera menemui penggantinya demi masa depan pasukan itu.
"Saya tiada masalah untuk bekerja dengan mana-mana jurulatih import tetapi bagi saya adalah lebih baik jurulatih itu datang segera.
"Sekurang-kurangnya dia dapat menyaksikan perlawanan liga terakhir kami dan dapat menyaksikan saingan Piala Malaysia.
"Dengan itu, dia dapat mengenal pasti di mana kelemahan dan kekurangan kami untuk ditampung dalam saingan Liga Super musim depan," katanya.
#ketua jurulatih #Kuala Lumpur #Nidzam Adzha Yusoff #turun pangkat #Liga Super #penolong jurulatih #lesen #Pro A #nokman mustaffa #Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur #KLFA #bola sepak #kelayakan #jurulatih import #pengganti
;