Nicol, Wee Wern mara ke pusingan kedua Terbuka British 2014

Bernama
Mei 14, 2014 17:58 MYT
Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David. --gambar fail
Ratu skuasy negara yang juga pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David dan Low Wee Wern mara ke pusingan kedua kejohanan skuasy Terbuka British 2014 di Sports Arena, University of Hull, England.
Pada perlawanan pusingan pertama awal Rabu, Nicol yang memburu kejuaraan kali kelima dengan mudah mengetepikan pemain kelayakan dari Mesir, Heba El Torky dengan kemenangan 11-8, 12-10, 11-8 dalam masa 36 minit, menurut laman web kejohanan di www.allambritishopensquash.com.
"Berjaya melalui pusingan pertama saya menentang Heba El Torky, 3-0 dan berusaha keluar dari universiti untuk berada di gelanggang kaca. Sepatutnya menyeronokkan!," kata Nicol dalam mesej Facebook beliau.
Nicol memenangi Terbuka British pada 2005, 2006, 2008 dan 2012.
Pilihan ketujuh Wee Wern, bagaimanapun berdepan saingan sengit daripada pemain Malaysia, Delia Arnold sebelum muncul pemenang dengan mata 11-6, 7-11, 11-1, 11-13, 11-7 dalam perlawanan 64 minit.
"Ia sentiasa sukar menentang kawan dan rakan sepasukan terutama dalam pusingan pertama, acara utama. Gembira ia selesai dengan keputusan 3-2 terhadap Delia Arnold hari ini. Seterusnya ialah menghadapi pusingan kedua Terbuka British, esok," kata Wee Wern menerusi laman mesej akaun Twitter beliau.
Nicol dan Wee Wern masing-masimg akan bertemu Sara-Jane Perry dan Emma Beddoes, kedua-duanya adalah pemain tuan rumah dalam pusingan kedua, lewat hari Rabu.
Sara-Jane, pilihan ke-16, menewaskan pemain Denmark Line Hansen dengan kemenangan 11-6, 13-11, 10-12, 11-8 manakala Emma mara ke pusingan kedua selepas melakukan 'upset' mengalahkan pilihan ke-13 Nour El Sherbini dari Mesir 11-7, 7-11, 11-6 dan 11-9.
Terdahulu, Ong Beng Hee, pemain tunggal Malaysia dalam kategori lelaki disingkirkan daripada kejohanan itu selepas tewas kepada pilihan kelapan, Karim Darwish dari Mesir dalam pusingan pembukaan, pada Isnin.
#Low Wee Wen #Nicol David #skuash #Terbuka British 2014
;