Nicol tamat Kursus Jurulatih Skuasy Dunia Tahap 2
Bernama
Ogos 22, 2023 00:26 MYT
Ogos 22, 2023 00:26 MYT
KUALA LUMPUR: Legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David lulus peperiksaan Kejurulatihan Skuasy Dunia (WSC) Tahap 2, selepas menamatkan kursus berkenaan di sini pada Jun lepas.
Juara dunia wanita lapan kali itu dalam kenyataannya berkata kursus yang beliau ikuti akan membantunya meneruskan misi untuk menjadikan sukan skuasy diikuti semudah mungkin di Malaysia melalui Nicol David Organisation (NDO), begitu juga bagi kursus kejurulatihan untuk wanita.
"Saya melakukannya kerana ini peluang saya untuk mengambil langkah seterusnya dalam melatih bukan kepada individu yang ingin belajar skuasy tetapi juga mereka yang ingin menjadi pengajar kerana kita memang memerlukan lebih ramai jurulatih skuasy terutama jurulatih wanita.
"Semua komponen ini penting bagi melengkapkan jurulatih dengan lebih terperinci tentang apa yang diperlukan dalam tempoh rangka latihan terutama dari aspek teknikal, taktikal, fisiologi dan psikologi," katanya dalam kenyataan yang dikongsi Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) hari ini.
Menurut Nicol lebih ramai jurulatih perlu mengambil WSC Tahap 2 untuk mereka mempunyai pemahaman lebih baik tentang skuasy dan berpengetahuan sebagai jurulatih bagi meneruskan kerjaya dalam melatih pemain serta pasukan pada masa depan.
Beliau berkata rancangannya pada masa depan adalah untuk melatih lebih ramai jurulatih menjadi pemimpin dalam lingkungan mereka sendiri.
Nicol akan menganjurkan kursus Wanita Dalam Kejurulatihan Tahap 1 pada 29 Ogos ini di Kuala Lumpur, dengan tujuan membantu jurulatih wanita generasi akan datang memulakan kerjaya mereka.
-- BERNAMA