Nicol mara ke suku akhir TOC

Bernama
Januari 17, 2017 12:06 MYT
Nicol akan bertemu pemain nombor satu dunia yang baharu, Nour El Sherbini (gambar) dari Mesir dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung hari ini. - Gambar fail
Pemain skuasy wanita nombor satu Malaysia, Datuk Nicol David mara dengan mudah ke suku akhir Tournament of Champions (TOC) yang berlangsung di New York, pada Isnin.
Dalam pusingan kedua kejohanan yang berlangsung dalam gelanggang kaca di Grand Central Terminal, pemain berusia 33 tahun dari Pulau Pinang itu menewaskan pemain Hong Kong, Annie Au straight set, 11-7, 11-6 dan 11-7 dalam 30 minit.
Menurut laman sesawang rasmi kejohanan itu, www.tocsquash.com, juara dunia lapan kali itu akan bertemu pemain nombor satu dunia yang baharu, Nour El Sherbini dari Mesir dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung hari ini.
El Sherbini menempat slot ke suku akhir selepas berhempas pulas untuk menewaskan rakan senegara, Salma Hany Ibrahim dalam perlawanan sengit empat set yang berakhir dalam masa satu jam 10 minit.
Beliau memenangi perlawanan itu dengan 5-11, 11-9, 13-11 and 13-11. -- Bernama
#Nicol David #Nour El Sherbini #Skuasy #TOC #Tournament of Champions
;