Nicol mara ke suku akhir Terbuka Hong Kong
Bernama
November 16, 2017 21:42 MYT
November 16, 2017 21:42 MYT
Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David memerah keringatnya sebelum mara ke suku akhir Kejohanan Skuasy Hong Kong yang berlangsung di Pusat Skuasy Hong Kong, hari ini.
Pilihan kelima itu yang juga juara sepuluh kali kejohanan, menang set pertama semasa bertemu pemain tuan rumah, Annie Au selaku pilihan kesembilan sebelum tewas dalam dua set seterusnya.
Nicol kemudian meningkatkan temponya dalam dua set terakhir untuk melakar kemenangan 11-9, 9-11, 7-11,11-9 dan 11-7 dalam perlawanan pusingan kedua yang berlarutan kira-kira 55 minit.
Kemenangan itu menyaksikan Nicol melebarkan rekod kemenangannya terhadap Au kepada 25 kemenangan berbanding satu kekalahan menentang lawan yang sama pada Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat pada Oktober lepas.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Pulau Pinang itu yang kali terakir menjuarai kejohanan itu pada 2015, menghadapi tugas berat kerana akan berentap dengan pemain nombor tiga dunia, Camille Serme iaitu pemain Perancis.
Serme melangkah ke ke suku akhir dengan menundukkan seorang lagi pemain tuan rumah, Joey Chan 11-6, 7-11, 11-6 dan 11-8 dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.
Cabaran negara dalam kategori lelaki berakhir selepas satu-satunya pemain yang masih beraksi, Mohd Nafiizwan Adnan tumpas 7-11, 5-11 dan 2-11 kepada pemain Mesir, Fares Dessouky yang juga pilihan kelapan dalam aksi pusingan pembukaan.
-- BERNAMA