Nicol ketuai cabaran pemain Malaysia mara ke suku akhir

Bernama
Ogos 23, 2018 04:53 MYT
Datuk Nicol David mengetuai cabaran pemain Malaysia mara ke suku akhir acara skuasy individu.
RATU skuasy negara, Datuk Nicol David mengetuai cabaran pemain Malaysia mara ke suku akhir acara skuasy individu pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 pada Khamis.
Pemain nombor sembilan dunia itu yang mendapat 'bye' pada pusingan pembukaan, hanya mengambil masa 22 minit untuk mengatasi pemain China, Li Dongjin 11-8, 11-5 dan 11-1 pada aksi pusingan kedua berlangsung di stadium skuasy Gelora Bung Karno di sini.
Sebelum itu, tiga pemain negara - S. Sivasangari, Ivan Yuen Chee Wern dan Mohd Nafiizwan Adnan menempah slot ke suku akhir selepas menewaskan lawan masing-masing di pusingan awal.
Sivasangari yang merupakan juara wanita kebangsaan, menewaskan Mihiliya Methsarani dari Sri Lanka 11-6, 11-6 dan 11-6 pada pusingan pertama sebelum mengatasi Yuliana Catur dari Indonesia 11-6,11-7 dan 11-6 di pusingan kedua.
Yuen yang merupakan juara lelaki kebangsaan, juga berada di elemen terbaik apabila menumpaskan Muhammad Nur Tastaftyan dari Indonesia 11-2, 11-5 dan 11-2, sebelum mengalahkan Muhammad Asim Khan dari Pakistan 11-9, 11-8 dan 12-10 di pusingan kedua.
Mohd Nafiizwan juga tidak menghadapi masalah apabila menumpaskan Ravindu Laksiri dari Sri Lanka 11-8, 11-7 dan 11-9 pada pusingan pertama dan mengetepikan cabaran Syed Azlan Amjad dari Qatar 11-6, 11-7 dan 11-7 di pusingan kedua.
-- BERNAMA
#Indonesia #Ivan Yuen Chee Wern #Malaysia #Mohd Nafiizwan Adnan #Nicol David #Palembang #S Sivasangari #Skuasy #sukan #Sukan Asia #wanita
;