Nicol hampir akhiri kemarau gelaran juara 14 bulan
Bernama
Mac 11, 2017 23:39 MYT
Mac 11, 2017 23:39 MYT
Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, semakin mara untuk mengakhiri kemarau pungutan gelaran juara selama 14 bulan apabila berjaya menempah tempat ke pelawanan akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Wanita Ciudad de Floridablanca di Colombia Jumaat ini (Sabtu di Malaysia).
Bagaimanapun, pemain pilihan kedua itu terpaksa berhempas-pulas dalam perlawanan lima set sebelum mencatatkan kemenangan 3-1 (8-11, 11-9, 11-6 dan 11-2) terhadap pemain pilihan ketiga dan pemain nombor 10 dunia, Alison Waters dari England pada perlawanan separuh akhir.
Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, beliau amat gembira dengan kejayaan tersebut setelah agak resah apabila kalah pada set pembukaan.
"Saya berjaya mengawal permainan dan mula mencari sasaran dengan baik, yang membuatnya berasa tertekan.
"Saya gembira kerana berjaya melangkah ke perlawanan akhir di sini, saya akan berjuang sepanuh hati. Apabila mara ke perlawanan akhir, kedua-dua pemain perlu bertarung dan itulah yang akan saya lakukan," kata Nicol.
Nicol yang mengungguli kejuaraan dunia sebanyak lapan kali dengan kali terakhir menjulang piala juara juara pada kejohanan Terbuka Hong Kong 2015, akan bertemu Olivia Blatchford dari Amerika Syrikat.
Blatchford, yang tidak tersenarai sebagai pemain pilihan, membuat kejutan dengan mengetepikan pemain pilihan pertama, Amanda Sobhy, apabila rakan senegaranya itu terpaksa menarik diri ketika mendahului 10-5 kerana mengalami kecederaan tumit.
Sobhy menang dua set pertama dengan mata 11-1 dan 11-6. -- Bernama