Nicol gagal teruskan kemaraan di Masters Wanita Saudi

Bernama
Januari 11, 2018 10:37 MYT
Pemain skuasy nombor satu dunia dan pemain pilihan pertama Nour El Sherbini (gambar) dari Mesir menewaskan pemain India, Dipika Pallikal Karthik, ketika perlawanan suku akhir Masters Wanita Saudi pada Rabu, 10 Jan, 2018. - Gambar fail
Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David hanya mampu mara setakat suku akhir Masters Wanita Saudi di Riyadh, Arab Saudi selepas tewas kepada, Nour El Tayeb , pada Rabu.
Bekas pemain nombor satu dunia dan pemain pilihan kelima kejohanan itu, ditundukkan 7-11, 12-14, 9-11 dalam pertarungan selama 35 minit oleh pemain pilihan ke-11 dari Mesir itu.
Ini adalah kekalahan pertama beliau dengan pemain berusia 24 tahun itu, yang ditewaskannya dalam sembilan perlawanan sebelum ini.
Pemain berusia 34 tahun yang berasal dari Pulau Pinang itu mara ke suku akhir selepas mengalahkan pemain India Joshna Chinappan 6-11, 11-5, 11-7, 11-7 pada pusingan kedua Selasa lepas, menurut laman sesawang rasmi kejohanan, https://squashinsaudi.com.
Dengan tersingkirnya Nicol, menyaksikan kejohanan profesional skuasy di Arab Saudi disapu bersih oleh pemain Mesir, apabila pemain nombor satu dunia dan pemain pilihan pertama Nour El Sherbini menewaskan pemain India, Dipika Pallikal Karthik, 11-5, 11-8, 11-4, sementara Raneem El Welily menundukkan pemain England Sarah-Jane Perry 13-11, 11-9, 7-11, 9-11, 11-4.
Ia dituruti oleh kemenangan Nouran Gohar ke atas pemain New Zealand, Joelle King 11-8, 11-6, 11-8, untuk menyaksikan penguasaan pemain Mesir di separuh akhir kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai US$165,000 (RM660,742).
Nour El Tayeb akan berhadapan pemain pilihan ketiga Raneem, sementara Nour El Sherbini akan bertemu Nouran pada separuh akhir, Khamis.
-- BERNAMA
#Arab Saudi #India #Masters Wanita Saudi #Mesir #Nicol David #Nour El Sherbini #Riyadh #Skuasy
;