Nicol David waspada cabaran Alison di pusingan kedua
Bernama
April 26, 2016 22:49 MYT
April 26, 2016 22:49 MYT
Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David tetap berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan pemain ranking ke-11 dunia, Alison Waters dari England di pusingan kedua Kejohanan Wanita Dunia NAZA PSA, esok.
Terdahulu, kedua-dua pemain itu mengatasi halangan pusingan pertama masing-masing di Pusat Skuasy Nasional di sini malam tadi.
Nicol, juara bertahan yang juga pilihan kedua, terpaksa bertungkus lumus mengetepikan juara dunia 2007, Rachael Grinham dari Australia 11-4, 8-11, 8-11, 11-1, 11-2 manakala Alison menundukkan pemain muda Mesir, Heba El Torky 13-11, 11-7, 4-11, 11-7.
"Saya akan cuba fokus kepada permainan sendiri dan memastikan strategi yang tepat. Selepas itu saya mahu cepat menguasai gelanggang selain berwaspada dengan pukulan Alison," kata juara dunia lapan kali itu selepas perlawanannya tadi.
Rekod pertemuan kedua-dua pemain itu adalah 1-1 dalam dua pertemuan terakhir mereka tahun lepas, dengan Alison menundukkan Nicol di suku akhir Kejohanan Juara-Juara di New York, Januari lepas.
Nicol, bagaimanapun, menebus kekalahan itu dengan menundukkan Alison, juga di suku akhir Terbuka Windy City di Chicago, Amerika Syarikat, sebulan selepas itu.
Mengenai perlawanan menentang Rachael, Nicol berkata ia agak sengit sehingga terpaksa bangkit memberikan yang terbaik selepas lawan itu mendahului 2-1.
"Menewaskan Rachael yang juga juara dunia dalam lima set sememangnya sesuatu yang melegakan. Anda memang sering perlu menentang bekas juara dunia di pusingan pertama dan saya gembira dapat menewaskannya," kata Nicol.
Seorang lagi pemain negara, Delia Arnold yang turut melepasi aksi pusingan pertamanya semalam, akan berdepan tugas berat apabila perlu menentang pemain nombor enam dunia, Omneya Abdel Kawy dari Mesir di pusingan kedua esok.