Nicol David juarai terbuka Macau
Bernama
Oktober 26, 2014 22:47 MYT
Oktober 26, 2014 22:47 MYT
Ratu skuasy Malaysia dan pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David, mempamerkan aksi mengagumkan sebelum meraih gelaran juara Terbuka Macau buat julung kalinya.
Dalam perlawanan akhir di Macau Squash Sports Complex pada Ahad, Nicol yang juga pilihan utama, menampilkan aksi bertaraf dunia sebelum menewaskan pemain nombor tiga dunia, Raneem El-Weleily dari Mesir, dengan catatan 11-8,11-2 dan 11-8.
"Sangat gembira menang gelaran #MacauOpen buat julung kali selepas tewaskan Raneem 3-0. Terima kasih kepada Macau Squash dan semua pihak yang menjadikan kejohanan ini sebagai acara utama bagi skuasy wanita," kata Nicol dalam laman Facebook beliau.
Dalam kategori akhir lelaki, Tarek Momen dari Mesir terpaksa bertungkus lumus sebelum dapat mengalahkan rakan senegara yang juga juara bertahan, Omar Mosaad.
Tarek menang dengan catatan 6-11, 11-5, 11-7, 4-11 dan 12-10 ke atas Omar, yang juga pilihan kedua.