Nicol dahului undian Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman

Umavathi Ramayah
Januari 14, 2021 18:50 MYT
Anak kelahiran Pulau Pinang itu adalah antara 24 calon yang mewakili sukan masing-masing dalam sejarah 40 tahun temasya sukan itu. Percalonan mereka dilakukan oleh persekutuan antarabangsa masing-masing. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Peluang ratu skuasy negara, Datuk Nicol David untuk merangkul Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia dilihat semakin cerah selepas mendahului undian berkenaan.
Setakat pukul 6 petang ini, pemegang takhta pemain nombor satu dunia selama sembilan tahun itu sudah mengumpul 166,142 undian yang meletakkan dirinya di kedudukan teratas dengan selesa.
Jumlah tersebut jauh meninggalkan pencabar utamanya iaitu atlet sumo Rusia, Batyr Altyev yang mengumpul 77,609 undian.
Sementara atlet racquetball Mexico, Paola Longoria pula mengekori di tempat ketiga dengan 35,012 undian.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu adalah antara 24 calon yang mewakili sukan masing-masing dalam sejarah 40 tahun temasya sukan itu. Percalonan mereka dilakukan oleh persekutuan sukan antarabangsa masing-masing.
Pada 20 Januari ini, 10 calon dengan undi terbanyak akan disenaraipendek manakala pemenang gelaran itu akan diumumkan pada 1 Februari ini.
Anugerah itu dianjurkan Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) sebagai sambutan ulang tahun ke-40 sukan dunia.
Penganjuran anugerah itu bertujuan memilih atlet terbaik sepanjang zaman yang pernah beraksi dalam mana-mana edisi sukan dunia yang diadakan buat pertama kalinya di Santa Clara, Amerika Syarikat pada 1981.
Nicol yang berumur 38 tahun pada Ogos ini, bermain skuasy seawal lima tahun dan memulakan karier sebagai pemain pada 1992 apabila merangkul pingat perak dalam Kejohanan Remaja Pulau Pinang.
Beliau merangkul gelaran dunia pertama tujuh tahun kemudian pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 1999 di Antwerp, Belgium ketika berusia 15 tahun.
Kejayaannya itu meletakkan dirinya sebagai juara remaja dunia wanita termuda dalam sejarah dan kemudiannya menjulang gelaran dunia pada 2005 sekali gus meletakkannya di ranking pertama dunia buat kali pertama pada Januari 2006 ketika berusia 23 tahun dan rakyat Malaysia dan Asia pertama berada di kedudukan nombor satu dunia.
Selama 112 bulan berada di kedudukan pertama dunia, Nicol dikenali dengan panggilan Duracell Bunny disebabkan kelincahan pemain berfizikal kecil itu.
Jadi tunggu apa lagi? Tunjukkan sokongan anda buat Nicol di pautan ini https://www.theworldgames.org/awards/The-World-Games-Greatest-Athlete-of-All-Time-81.
Ayuh mengundi Nicol David!
#Nicol David #Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia #mendahului senarai #sukan #Kementerian Belia dan Sukan #ayuh mengundi nicol
;