Nicol beri isyarat positif menjelang Sukan Asia 2018

Bernama
Julai 13, 2018 04:52 MYT
Nicol percaya dua pingat emas yang ditawarkan di Sukan Asia mampu dicapai sekiranya semua pemain negara berada pada prestasi terbaik. - Gambar fail
Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David berada dalam kedudukan terbaik untuk meraih keputusan positif pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia, bulan depan.
Nicol yang meraih empat pingat emas pada lima edisi terakhir temasya sukan berkenaan dalam kategori perseorangan wanita, berkata beliau mendapat tempoh rehat secukupnya selepas Sukan Komanwel 2018 dan bersedia menggandakan usaha bagi mencapai matlamat itu.
"Persiapan berjalan lancar. Saya mendapat tempoh rehat yang baik selepas Sukan Komanwel 2018 dan mempunyai masa secukupnya untuk berehat dan ia benar-benar memberi kesan kepada prestasi saya.
"Dari segi permainan, saya hanya perlu dapatkan kembali rentak dan tidak sabar untuk turun ke gelanggang dan teruskan latihan," katanya kepada pemberita selepas Ketua Kontinjen negara ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi meninjau persiapan skuad skuasy negara menjalani latihan di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, pada Jumaat.
Bekas pemain nombor satu dunia berusia 34 tahun itu juga percaya dua pingat emas yang ditawarkan mampu dicapai sekiranya semua pemain negara berada pada prestasi terbaik ketika temasya sukan di Indonesia itu.
"Saya merasakan sekiranya semua pemain mempamerkan prestasi sebenar, kita mampu meraih keputusan positif," katanya.
Selain Nicol, pemain berusia 19 tahun S. Sivasangari yang pertama kali menjuarai kejohanan kebangsaan minggu lepas, akan bersaing dalam acara perseorangan wanita, manakala bekas pemain nombor lima dunia, Low Wee Wern dan Aifa Azman, akan bergandingan dengan kedua-dua pemain terbaik Malaysia itu dalam acara berpasukan wanita.
Bagi kategori lelaki, Ivan Yuen Chee Wern dan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2018 Mohd Nafiizwan Adnan bakal bersaing dalam acara perseorangan lelaki, dan kedua-dua pemain berkenaan bersama-sama Ng Eain Yow dan Muhammad Syafiq Kamal akan berentap dalam acara berpasukan.
Pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, skuad negara meraih dua pingat emas menerusi Nicol dalam acara perseorangan wanita dan juga berpasukan wanita, selain dua pingat perak dalam acara perseorangan wanita (Wee Wern) dan berpasukan lelaki, serta gangsa dalam perseorangan lelaki.
-- BERNAMA
#atlet negara #Indonesia #Jakarta #Nicol David #ratu skuasy negara #rehat #Skuasy #sukan #Sukan Asia
;