Nicol atlet istimewa, pencapaiannya satu fenomena - Mohamad Norza

Bernama
Februari 19, 2019 06:08 MYT
Olahragawati Kebangsaan sebanyak sembilan kali ini akan beraksi dalam kejohanan Dunia ke-9 dan terakhir buatnya di Chicago, Amerika Syarikat dari 23 Feb hingga 2 Mac ini.
Kelibat ratu skuasy negara, Datuk Nicol David di pentas antarabangsa mungkin akan dirindui selepas juara dunia lapan kali itu bakal bersara Jun ini, namun legasinya tetap akan hidup dan diteruskan.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pelbagai kejayaan diraih Nicol antaranya merangkul tiga pingat emas Sukan Dunia, lima emas Sukan Asia selain dua emas Sukan Komanwel sepanjang 20 tahun penampilannya menjadikan beliau seorang atlet istimewa.
Jelasnya, persaraan atlet kelahiran Pulau Pinang berusia 35 tahun adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada sukan skuasy negara, malah ia akan turut dirasai di peringkat antarabangsa.
"Ia adalah satu kehilangan yang amat besar kerana beliau merupakan seorang atlet yang luar biasa. Kejayaan dicatat dan pencapain beliau selama ini saya anggap sebagai satu fenomena," katanya kepada Bernama.
Selain mempunyai pencapaian luar biasa dalam gelanggang yang menggambarkan kegigihannya mengangkat nama Malaysia di persada dunia, Mohamad Norza turut memuji sifat keperibadian dimiliki Nicol selain kecemerlangannya dalam bidang akademik.
"Beliau adalah seorang atlet yang lengkap kerana bukan sahaja beraksi cemerlang mengharumkan nama negara, tetapi juga tampil dengan peribadi yang sangat baik. Pencapaiannya dalam bidang akademik dan karier wajar dicontohi dan atas sebab itu juga beliau layak diangkat sebagai seorang idola," tambah beliau.
Setelah lebih dua dekad beraksi di gelanggang kaca, Nicol yang pernah mengungguli takhta ranking dunia selama sembilan tahun berturut-turut, pada Selasa mengambil keputusan untuk menggantung raketnya selepas musim jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) 2018/2019 berakhir pada Jun ini.
Berkongsi pandangan yang sama adalah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi yang mengakui berasa sedih akan keputusan itu, namun menghormati dan memandang ke depan akan kerjasama yang bakal terjalin antara MSN dan Nicol.
"MSN amat berbangga dan berterima kasih kepada Nicol atas pencapaiannya. Secara jujur, di MSN kami berasa sedih tetapi dalam masa sama teruja untuk bekerjasama dengan beliau dalam pembangunan sukan khususnya sukan skuasy di negara kita.
"Nama Nicol ini besar... kita tidak seharusnya mensia-siakan begitu sahaja," katanya.
Dalam pada itu, pengumuman tersebut turut mendapat reaksi Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman yang mengakui membesar dengan menjadikan Nicol sebagai idolanya.
"Saya membesar dengan menjadikan anda sebagai idola saya, Saya sangat yakin ia tidak berubah dalam masa terdekat. Menanti rancangan persaraan anda. Teruskan memberi inspirasi!," menurut catatan dalam laman Twitter beliau.
Nicol yang pernah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak sembilan kali akan beraksi dalam kejohanan Dunia ke-9 dan terakhir buat beliau di Chicago, Amerika Syarikat dari 23 Feb hingga 2 Mac ini.
-- BERNAMA
#Ahmad Shapawi #atlet #gantung raket #idola #kehilangan #Majlis Olimpik Malaysia #Majlis Sukan Negara #Mohamad Norza Zakaria #Nicol David #Olahragawati Kebangsaan #Ratu #Skuasy #Sukan Asia #Sukan Dunia #Syed Saddiq Abdul Rahman
;