NFDP mahu sokongan kerajaan kepada pembangunan bakat muda diteruskan

Israr Khalid
Jun 6, 2018 06:33 MYT
Misi jelajah Eropah Skuad Akademi Mokhtar Dahari di bawah NFDP berjaya - Foto Astro AWANI
Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) berharap kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) dapat meneruskan sokongan kepada usaha membangunkan bakat muda dalam sukan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Safirul Azli Abu Bakar berkata, pencapaian cemerlang skuad Akademi Mokhtar Dahari di bawah NFDP dalam jelajah Eropah sejak beberapa tahun belakangan ini membuktikan bahawa kita ada kualiti dan potensi untuk membentuk sebuah pasukan disegani di peringkat dunia pada masa hadapan.
Begitupun tegasnya, seluruh warga NFDP juga setiap pihak yang berkaitan secara langsung mahupun tidak langsung perlu meneruskan gerak kerja cemerlang untuk kekal berada di landasan yang betul bagi membangunkan bola sepak negara.
“Perkara yang sama saya beritahu juga kepada ibu bapa dan semua yang terlibat dalam NFDP ini bahawa kita tidak perlu rungsing sekiranya kita melakukan kerja dengan baik.
“Tak perlu timbulkan spekulasi, siapa menteri seterusnya, sama ada beliau minat bola sepak atau tidak. Sekiranya kerja kita dilakukan dengan ikhlas setiap hari, kita fokus dan capai segala objektif, maka siapa-siapa pun akan menyambung program yang baik,” katanya.
Hari ini skuad bawah 15 tahun AMD selamat tiba ke tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, membawa pulang satu piala kejuaraan dari Belanda dan gelaran tempat ketiga dari kejohanan di Jerman, serta beberapa siri persahabatan yang mencatat keputusan membanggakan sepanjang tempoh jelajah 15 Mei hingga 5 Jun tempoh hari.
Selaras dengan objektifnya, Safirul berkata para pemain serta barisan kejurulatihan mendapat pendedahan terhadap cara kerja dan suasana bola sepak berkualiti tinggi untuk dipelajari seterusnya diterapkan ke dalam sistem kita.
Menurut Safirul lagi, konsistensi kejayaan yang dicapai sejak beberapa tahun lepas ini telah membuka mata pencari bakat di Barat terhadap anak-anak muda Malaysia malah banyak kelab menyatakan hasrat mereka untuk mendapatkan khidmat pemain AMD secara profesional.
“Cuma kelab-kelab Eropah ini hanya boleh tawarkan kontrak apabila pemain mencecah usia 18 tahun.
“Kalau kita tak hantar mereka ke Eropah, scout di sana takkan tahu keupayaan pemain-pemain ini. Jadi setiap tahun sehinggalah mereka berusia 17 tahun kita akan beri pendedahan yang terbaik untuk mereka supaya sentiasa berada di bawah radar kelab-kelab Eropah,” katanya.
Memaklumkan perancangan seterusnya untuk skuad B-15 ini, Safirul berkata mereka akan bertanding dalam Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Bawah-17 yang mana dia yakin mereka mampu menjuarainya, sementara menilai senarai jemputan dari luar negara yang sesuai untuk dilayani.
Sementara itu, pemain terbaik pasukan, Muhammad Aznil Hafiz Azhar menyatakan rasa bertuah dapat mempelajari banyak hal dari jelajah Eropah, antaranya sikap sebagai seorang pemain berkualiti.
“Saya tengok sikap mereka lah, contohnya kalau coach sampai lambat, mereka sendiri ada inisiatif untuk susun dan mulakan latihan sendiri.
“Insya-Allah kalau rezeki ada, saya memang mahu bermain di Eropah,” kata anak muda kelahiran Jitra, Kedah itu.
Aznil, antara pemain yang sempat menjalani latihan bersama kelab Belanda semasa tempoh jelajah itu juga menyuarakan impiannya untuk beraksi bersama Manchester United satu hari nanti.
#Akademi Mokhtar Dahari #AMD #bola sepak #Kerajaan Pakatan Harapan #Malaysia #NFDP #PH #Safirul Azli Abu Bakar
;