NFDP harapan untuk perbaik ranking bola sepak negara - Khairy

Astro Arena
Julai 10, 2015 17:28 MYT
Ranking negara mungkin tidak dapat diperbaiki secara mendadak dalam tempoh lima dan 10 tahun akan datang kerana potensi pemain ketika ini berada di takuk yang sama.
Ranking negara dalam pentas bola sepak dunia akan melonjak ke kedudukan lebih baik apabila program pembangunan pemain muda sekarang membuahkan hasil, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata ranking negara mungkin tidak dapat diperbaiki secara mendadak dalam tempoh lima dan 10 tahun akan datang kerana potensi pemain ketika ini berada di takuk yang sama.
Kejatuhan ranking negara ke tangga 168 yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam, jatuh enam anak tangga berbanding ranking pada Jun lepas, bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan sejak sebulan lepas tiada kemenangan besar yang diperolehi skuad kebangsaan, katanya.
"Kita kena tunggu produk yang lebih muda seperti Harimau Muda dan pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).
"Jadi saya minta penyokong sabar beberapa tahun untuk pemain yang kita ada pada hari ini bersara dan digantikan dengan pemain baharu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Malaysia dalam ranking terbaru yang dikeluarkan FIFA, selepas melancarkan Youth Trailblazers Challenge, di sini hari ini.
Dalam kalangan negara Asia, Malaysia kini berada dalam kelompok bersama pasukan Bangladesh yang berada di ranking ke-169, Yaman (171), Pakistan (172), Laos (177), Kemboja (181) dan Brunei (184).
Kedudukan baharu skuad kendalian Dollah Salleh itu susulan kekalahan besar 0-6 kepada Palestin dan seri 1-1 menentang Timor Leste pada saingan kelayakan Piala Dunia Rusia 2018.
#bola sepak #FIFA #harimau muda #Khairy Jamaluddin #NFDP #ranking
;