Neymar sepatutnya menang lima Ballon d'Or - Buffon

Sinar Harian
November 20, 2024 14:45 MYT
Neymar telah beraksi bersama ramai pemain hebat namun dia seharusnya diberikan pengiktirafan kerana kualiti yang dimiliki pemain itu. - Gambar fail/Sinar Harian
PENJAGA gol legenda Itali, Gianluigi Buffon percaya Neymar seharusnya memenangi sekurang-kurangnya lima anugerah Ballon d'or dalam karier bola sepaknya.
Buffon berkata, dia telah beraksi bersama ramai pemain hebat namun menegaskan Neymar seharusnya diberikan pengiktirafan kerana kualiti yang dimiliki pemain itu.
"Saya bermain dalam tiga generasi berbeza. Bagaimana saya mahu memilih yang terbaik? Zinedine Zidane, Ronaldo, Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Andres Iniesta... dan saya perlu memilih salah seorang dan dia ialah Neymar.
"Pemain seperti Neymar, dia sepatutnya memenangi lima Ballon d'or," katanya.
Buffon pernah bermain bersama Neymar di Paris Saint-Germain (PSG) pada musim 2018-19.
Neymar menyertai PSG dalam perpindahan rekod dunia dari Barcelona pada 2017, tetapi gagal membawa kelab Perancis itu menjulang trofi Liga Juara-Juara sulung mereka.
Pemain berusia 32 itu disifatkan sebagai pemain luar biasa selepas penghijrahan dari Santos ke Eropah, namun biarpun mengharungi kerjaya yang cemerlang terutamanya di Barcelona, dia tidak pernah berjaya memenangi Ballon d'Or.
Di PSG pula, Neymar sering dibayangi oleh Kylian Mbappe dan apabila Messi menyertai pasukan pada 2021, ketiga-tiga mereka juga gagal memberi impak di pentas Eropah yang diharapkan oleh pemilik PSG.
Neymar berpindah pada 2023 untuk menyertai Al-Hilal di Arab Saudi, tetapi jarang beraksi untuk gergasi Asia itu akibat kecederaan. -- Sinar Harian
#Neymar #Ballon d'Or #Gianluigi Buffon #Cristiano Ronaldo #Lionel Messi
;