Neymar sembuh, tidak disingkirkan daripada skuad PSG

Astro Arena
Ogos 16, 2019 09:51 MYT
Neymar tidak beraksi dalam aksi pembukaan Ligue 1 minggu lalu menentang Nimes sehingga membuatkan peminat melakukan protes terhadapnya. - Astro ARENA
NEYMAR tidak disingkirkan daripada skuad Paris Saint-Germain (PSG) dan kini telah sembuh sepenuhnya, kata pengarah sukan kelab, Leonardo.
Pemain Brazil itu - yang terlepas Copa America akibat kecederaan - tidak beraksi dalam aksi pembukaan Ligue 1 minggu lalu menentang Nimes sehingga membuatkan peminat melakukan protes terhadapnya.
Neymar dilaporkan lewat menyertai sesi latihan pramusim dan Leonardo sebelum ini mengesahkan pemain berusia 27 tahun itu mahu meninggalkan Paris, dua tahun selepas berhijrah daripada Barcelona menerusi rekod yuran perpindahan termahal dunia bernilai EUR222 juta (RM1.02 bilion).
Dia dikaitkan dengan jalan pulang ke Camp Nou walaupun pengendali Barca, Ernesto Valverde, tidak mahu bercakap mengenai kemungkinan itu dalam sidang media semalam.
Dan Leonardo menafikan Neymar masih cedera serta disingkirkan daripada skuad utama kendalian Thomas Tuchel itu.
"Ia perkara mudah," katanya.
"Neymar dipantau oleh beberapa doktor dan pakar bedah hebat pada awal musim. Tulangnya pada bahagian metatarsal kelima telah bercantum dengan sempurna. Kecederaannya telah sembuh sepenuhnya.
"Ia tidak benar. Dia tidak disingkirkan daripada pasukan. Dia mengikuti program pemulihan secara bersendirian."
BACA: Neymar retak metatarsal kelima
BACA: Neymar belum bersedia sepenuhnya
Masa depan Neymar masih belum menemui jalan penyelesaian sambil Barca dan Real Madrid dilaporkan gagal dalam bidaan sambil Leonardo menyatakan bahawa penggempur itu mungkin terlepas kunjungan ke Rennes, Ahad ini.
"Dia adalah pemain PSG. Masih ada tiga tahun kontrak untuknya di sini, kami tidak boleh lupakannya," tambah Leonardo.
"Kami perlu kenal pasti segalanya, memperbaikinya sebelum dia dapat beraksi semula.
"Neymar melakukan kesilapan. Saya tidak mengenalinya tetapi sejak beberapa hari lalu, saya mula mengambil tahu tentangnya.
"Sejujurnya, dia seorang individu yang baik dengan latar belakang yang bagus. Di atas padang, dia pemain hebat.
"Terdapat perbincangan mengenai masa depannya seperti yang anda tahu tetapi masih belum ada perkembangan."
#barcelona #Brazil #Camp Nou #cedera #Copa America #Ernesto Valverde #Ligue 1 #metatarsal #Neymar #Paris Saint-Germain #PSG #Sembuh
;