Neymar semakin pulih

Sinar Harian
November 14, 2023 12:53 MYT
Neymar mengalami kecederaan lutut semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay bulan lalu. - Gambar fail/ Reuters
PENYERANG Brazil, Neymar semakin pulih selepas menjalani pembedahan lutut akibat kecederaan yang dialami semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay bulan lalu.
Bagaimanapun doktor pasukan kebangsaan Rodrigo Lasmar yang menjalankan pembedahan berkata, pihaknya masih belum dapat menetapkan tarikh untuk pemain kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal itu kembali beraksi.
"Semua ini menjadikan prosedur lebih kompleks, dengan tempoh pemulihan yang lebih perlahan. Itulah sebabnya kita tidak bercakap mengenai skala masa.
"Neymar bertindak balas sangat baik selepas pembedahan tetapi proses pemulihan mengambil masa yang panjang dan dia mesti fokus pada proses itu.
"Dia telah menunjukkan petanda positif dengan mengikuti apa yang kami semua cadangkan kepadanya. Dia juga tahu bahawa ia adalah satu proses yang memerlukan masa, kami teruja untuk mendapatkan khidmat Neymar kembali secepat mungkin," kata Lasmar.
Neymar mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) dan meniskus di lutut kirinya, menjalani pembedahan di hospital Belo Horizonte awal bulan ini.
Neymar menyertai Al-Hilal pada Ogos dengan laporan 90 juta Euro, tetapi bekas penyerang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu hanya bermain lima perlawanan kerana dia bergelut dengan kecederaan otot.
Brazil, yang menduduki tempat ketiga dalam kedudukan kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan dengan tujuh mata, berdepan Colombia di tempat kelima, dengan enam mata, pada Khamis.
Skuad Samba akan melayan pendahulu kumpulan Argentina, yang mempunyai 12 mata, pada Selasa berikutnya. - Sinar Harian
#Neymar #tahap kecederaan #pembedahan lutut #status pemulihan
;