Neymar sah tidak beraksi menentang Manchester United
Ian Johan Ariff
Januari 30, 2019 21:26 MYT
Januari 30, 2019 21:26 MYT
Penyerang Paris-St-Germain (PSG), Neymar tidak akan beraksi dalam perlawanan pusingan 16 pasukan terakhir menentang Manchester United, yang dijadual berlangsung pada 12 Februari di Old Trafford dan perlawanan timbal balik di Paris pda 6 Mac.
Ia berikutan pemain antarabangsa Brazil itu mengalami patah tulang metatarsal semasa beraksi dalam perlawanan Piala Perancis menentang Strasbourg, 23 Januari lepas.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan PSG, Selepas mendapatkan nasihat kumpulan pakar perubatan di Pusat Latihan Ooredoo, mereka terpaksa mengambil langkah berhati-hati untuk mengelak kecederaan yang lebih teruk dalam jangka masa panjang.
Neymar juga bersetuju dengan keputusan yang dibuat pakar perubatan dan kelab tersebut, di mana dia terpaksa berehat selama 10 minggu.
Dalam perlawanan menentang Strasbourg tersebut, Neymar terpaksa dikeluarkan pada minit ke-62 selepas mengalami kecederaan, akibat beberapa terjahan keras dalam tempoh beberapa saat.
Pemain Strasbourg, Anthony Goncalves dalam satu temu bual menyatakan Neymar tidak sepatutnya mengadu apabila dikasari kerana cara dia bermain mengundang kemarahan pihak lawan.
Goncalves dan pengurus Strasbourg, Thierry Laurey bagaimanapun mengkagumi dan menghormati kebolehan Neymar, namun kesabaran pemain di atas padang ada batasnya.
Laurey juga menegaskan dia tidak mengarahkan anak buahnya untuk mengasari Neymar tetapi memahami tindakan seseorang yang hilang sabar dengan pemain yang seakan mengejek dan merendahkan kebolehan mereka di atas padang.
Pengurus PSG, Thomas Tuchel tidak berpuas hati dengan komen yang dibuat oleh pemain dan jurulatih Strasbourg yang membuat kenyataan bahawa kecederaan yang dialami Neymar berpunca daripada tingkah laku pemain Brazil itu di atas padang.
#Anthony Goncalves
#Liga Juara-Juara Eropah
#Manchester United
#Neymar
#Paris
#PSG
#Strasbourg
#Thierry Laurey
#Thomas Tuchel
#UCL