Neymar sah kembali ke kelab pertama, Santos
Bernama
Januari 31, 2025 16:32 MYT
Januari 31, 2025 16:32 MYT
LONDON: Neymar mengesahkan kepulangannya ke kelab pertama yang disertainya, Santos dan menyatakan beliau telah lama mengimpikan langkah itu menjadi kenyataan, lapor agensi berita PA Media/dpa.
Pengumuman rasmi dijangka dibuat pada Jumaat, namun pemain antarabangsa Brazil berusia 32 tahun itu yang masih memegang rekod sebagai pemain bola sepak termahal dunia selepas perpindahannya bernilai AS$250 juta ke Paris Saint-Germain (PSG) pada 2017 berkata beliau tidak dapat "menunggu sehingga esok."
Dalam video yang dimuat naik kepada 64 juta pengikutnya di platform X, Neymar berkata:
"Hai semua, rasanya seperti saya kembali ke masa lalu."
"Saya bersama rakan-rakan dan keluarga dan mereka yang membantu saya menulis beberapa perkara."
"Saya tidak dapat menunggu sehingga esok. Keluarga dan rakan-rakan saya sudah tahu keputusan saya. Saya akan menandatangani kontrak dengan Santos Futebol Clube."
"Saya ingin berterima kasih kepada semua peminat dari seluruh dunia yang lama menantikan detik ini."
"Sudah hampir 12 tahun sejak saya meninggalkan kelab ini...dan rasanya seperti baru semalam."
"Perasaan saya terhadap kelab dan penyokong tidak pernah berubah."
Neymar membuat penampilan sulung bersama Santos pada Mac 2009 ketika berusia 17 tahun dan menjaringkan 136 gol dalam 225 perlawanan sebelum berhijrah ke Barcelona pada 2013.
Sepanjang empat musim di Sepanyol, beliau tampil dalam 186 perlawanan dan membantu kelab itu merangkul dua kejuaraan LaLiga, Liga Juara-Juara UEFA serta Piala Dunia Kelab sebelum berpindah ke PSG dengan rekod dunia.
Di Paris, Neymar memenangi lima gelaran liga sebelum menyertai kelab Arab Saudi, Al-Hilal pada Ogos 2023.
"Saya melalui detik-detik indah di Riyadh," kata Neymar, tiga hari selepas Al-Hilal mengumumkan yang kontraknya ditamatkan dengan persetujuan bersama.
"Tetapi saya mengalami kecederaan serius yang menghalang saya daripada membalas kepercayaan yang diberikan dengan cara yang saya inginkan."
"Kini, saya perlu bermain semula. Hanya kelab seperti Santos yang dapat memberikan kasih sayang yang saya perlukan untuk bersiap sedia menghadapi cabaran pada tahun mendatang."
"Saya harap anda semua akan terus bersama saya dalam langkah baharu dalam hidup ini. Saya berterima kasih atas semua sokongan anda, walaupun dalam saat-saat paling sukar."
"Memang banyak cabaran, tetapi bermain bola sepak, melakukan perkara yang paling saya cintai dalam hidup, itulah yang membuat saya bahagia."
-- BERNAMA