Neymar retak metatarsal kelima

Astro Arena
Februari 27, 2018 10:35 MYT
Neymar diangkat ke atas usungan oleh kakitangan perubatan selepas mengalami kecederaan ketika perlawanan antara Paris St Germain dan Olympique de Marseille di Paris, 25 Feb, 2018. REUTERS
NEYMAR nyata dalam keraguan untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) bagi aksi menentang Real Madrid dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah selepas pemain Brazil itu mengalami patah kaki.
Laporan awal sudah menunjukkan bahawa Neymar mengalami patah pergelangan kaki selepas pemain berusia 26 tahun itu diusung keluar meninggalkan padang sambil menitiskan air mata dalam kemenangan 3-0 PSG ke atas Marseille, awal pagi semalam.
Neymar mendarat buruk susulan cabaran daripada pemain Marseille, Bouna Sarr, yang datang menerjah pergelangan kaki kanannya.
Selepas insiden itu, Unai Emery, bersikap optimistik bahawa Neymar akan pulih -- terhadap kecederaan yang dianggapnya seperti terseliuh -- tepat pada masanya untuk menghadapi Madrid pada 7 Mac.
Tetapi PSG awal hari ini mengeluarkan satu kenyataan yang memberitahu kecederaan pergelangan kaki pemain Brazil itu, bersama dengan metatarsal retak, akan memberinya peluang tipis untuk beraksi menentang Madrid.
"Ujian yang dijalankan hari ini (ultrasound dan CT) mengesahkan anterior luar pergelangan kaki kanan terseliuh tetapi juga berkaitan dengan metatarsal kelima," kata PSG.
Neymar kelihatan menjadi sasaran Marseille sepanjang pertemuan Classique semalam, dengan pemain Brazil itu dikasari lapan kali, walaupun dia membuat bantuan gol untuk Edinson Cavani bagi jaringan ketiga PSG.
Pemain termahal dunia itu -- yang dikaitkan dengan Madrid sejak menyertai PSG dari Barcelona dalam perjanjian €222 juta (RM1 bilion) pada Ogos -- sudah diragui untuk menghadapi Marseille akibat virus.
Tetapi selepas kecergasannya pulih, Neymar mengalami kecederaan yang mungkin menghalangnya daripada bermain menentang Madrid, dengan hanya tinggal lapan hari untuk aksi timbal balik pusingan 16.
Bercakap kepada wartawan selepas perlawanan, Sarr menafikan mahu mencederakan Neymar.
"Neymar? Saya nampak satu perkara, iaitu saya bermain bola," kata Sarr.
"Saya tidak pergi dengan niat untuk melakukannya. Ini bukan jenis permainan saya. Rupa-rupanya pergelangan kakinya terseliuh. Ia malang untuknya, tetapi ia adalah fakta permainan seperti yang lain."
#Bouna Sarr #Brazil #cedera #kaki #metatarsal #Neymar #Paris Saint-Germain #patah #PSG #Real Madrid #retak #sakit buku lali #Unai Emery
;