Neymar kembali jalani latihan hadapi Real Madrid
Astro Arena
Februari 11, 2022 12:44 MYT
Februari 11, 2022 12:44 MYT
NEYMAR kembali mengambil bahagian dalam sesi latihan Paris Saint-Germain (PSG) semalam, seterusnya berpeluang untuk dipertaruhkan dalam pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Real Madrid, Rabu depan.
Pemain antarabangsa Brazil, Neymar tidak bermain untuk PSG sejak 28 November lalu selepas terseliuh ligamen di buku lali kirinya dalam kemenangan 3-1 ke atas Saint-Etienne.
Pemain berusia 30 tahun itu yang dijangka terpinggir di antara enam dan lapan minggu telah terlepas 12 perlawanan terakhir.
Bagaimanapun, dia telah meningkatkan program pemulihannya dengan memainkan peranan kecil dalam latihan kumpulan menjelang pertemuan Ligue 1 dengan Rennes, awal pagi esok.
Pengurus PSG, Mauricio Pochettino, bagaimanapun mengetepikan khidmat Neymar untuk bertemu Rennes tetapi akan membuat keputusan dalam tempoh lima hari berikutnya sebelum menentang Madrid pada minggu depan.
"Dia seorang pemain handalan yang mahu beraksi dalam perlawanan besar," katanya dalam sidang akhbar sebelum perlawanan.
“Tetapi dia seorang pemain berpengalaman yang baru ditimpa kecederaan.
“Dia memiliki kematangan untuk menangani situasi seperti ini dan menggunakan situasi ini untuk memberikan yang terbaik.
"Kami akan tunggu sebelum memutuskan kedudukannya dalam beberapa hari akan datang."
Selain itu, Sergio Ramos juga baru bebas daripada masalah betis yang membelenggunya dua minggu lalu dan sedang menjalani latihan ringan bagi meningkatkan peluang berdepan bekas kelab yang pernah diketuainya, Madrid, di tempat sendiri.