Neymar gunakan iklan, ikrar jadi pemain lebih baik

Astro Arena
Julai 31, 2018 08:33 MYT
Pemain berusia 26 tahun yang memegang status pemain termahal dunia itu juga tidak disenaraikan dalam senarai pendek anugerah Terbaik FIFA. - Astro Arena
NEYMAR mengakui kadangkala dia melebih-lebihkan kesalahan ketika Piala Dunia tetapi bintang Brazil dan Paris Saint-Germain (PSG) itu bertekad untuk memperbaiki dirinya selepas kegagalan di Russia.
Tatkala harapan menggunung diletakkan di bahunya serta seluruh skuad Brazil, pasukan gergasi Amerika Selatan itu disingkirkan secara mengejut di peringkat suku akhir oleh Belgium.
Neymar -- yang menjaringkan dua gol di sepanjang kejohanan selepas pulih daripada kecederaan patah kaki pada Februari lalu -- menjadi sasaran kritikan utama susulan tingkah lakunya di atas padang.
Pemain berusia 26 tahun yang memegang status pemain termahal dunia itu juga tidak disenaraikan dalam senarai pendek anugerah Terbaik FIFA.
Neymar menggunakan iklan tajaan daripada jenama Gillette untuk menerima semua kritikan sambil melaungkan tekad untuk bangkit.
Iklan itu bermula dengan penampilan Neymar mengatakan, "Tapak but di atas pelapik, tendangan pada tulang belakang, pijak di atas kaki. Anda mungkin fikir saya melebih-lebihkannya dan kadangkala memang benar. Namun, sebenarnya saya merana di atas padang. Anda tidak akan tahu apa yang telah saya lalui.
"Apabila saya beredar tanpa bercakap dengan media, ia tidak bermaksud saya hanya sukakan kemenangan tetapi kerana saya masih belum belajar untuk mengecewakan anda.
"Ketika saya tampak tidak sopan, ia tidak bermakna saya individu yang teruk tetapi disebabkan saya masih belum mempelajari untuk mengawal kekecewaan saya.
"Saya masih muda. Kadangkala ia mempesonakan dan ada juga waktu bahawa ia membuatkan semua marah. Saya hanya bertarung untuk memastikan anak muda ini terus hidup. Ia di dalam diri saya, bukan di atas padang.
"Anda mungkin berfikir saya jatuh dengan melampau, namun realitinya adalah saya sangat kecewa. Ia lebih sakit berbanding ketika orang lain memijak bahagian buku lali yang menjalani pembedahan.
"Saya memerlukan masa untuk menerima kritikan anda. Saya mengambil masa untuk melihat ke cermin dan menjadi seseorang yang baru. Kini, saya di sini dan hati lebih terbuka.
"Saya jatuh tetapi sesiapa yang melaluinya boleh bangkit semula. Anda boleh terus melontarkan batu ke arah saya atau membantu saya kerana apabila saya bangkit, seluruh negara akan bersama saya."
#bola sepak #Brazil #Neymar #Paris Saint-Germain #pemain bola #Piala Dunia #PSG
;