Neymar gagal 'perdaya' VAR, Coutinho tampil cetus kemenangan pertama Brazil

Israr Khalid
Jun 22, 2018 05:51 MYT
Philippe Coutinho meraikan gol pertama Brazil pada perlawanan Kumpulan E menentang Costa Rica dalam aksi Piala Dunia di Stadium Saint Petersburg, Rusia, 22 Jun, 2018. REUTERS
Ketika Seleçao yang meletakkan sandaran kepada Neymar mempimpin jentera serangan terus buntu untuk menembusi pertahanan Los Ticos, Philippe Coutinho mengambil alih tugas tersebut untuk meledak gol keduanya lewat permainan pada minit pertama masa tambahan separuh masa kedua.
Sehinggalah pada saat-saat akhir sebelum tamat minit ketujuh masa tambahan, Neymar menjaringkan gol pertamanya dalam kempen Piala Dunia kali ini dengan menampan hantaran lintang rendah Douglas Costa untuk mencantikkan kemenangan Brazil ke atas Costa Rica di Saint Petersburg.
Juara lima kali, Brazil yang turun sebagai antara pilihan juara kelihatan masih mencari rentak senada sebagai satu pasukan dalam perlawanan kedua peringkat Kumpulan E.
Neymar cuba mendapatkan penalti pada minit ke-78, namun ia dinafikan pengadil bantuan video (VAR) yang mendapati pemain termahal dunia itu sendiri merebahkan diri selepas sentuhan minima daripada Giancarlo Gonzalez.
Ini juga merupakan kali pertama teknologi yang baharu diperkenalkan itu menafikan keputusan awal pengadil di atas padang selepas empat semakan semula sebelum ini memberikan sepakan penalti. (A.Griezmann untuk Perancis vs Australia, C.Cueva untuk Peru vs Denmark, A.Granqvist untuk Sweden vs Korea Selatan, dan M.Jedinak untuk Australia vs Denmark)
Kemenangan itu meletakkan pasukan kendalian Tite menerajui Kumpulan E dengan empat mata dan berkelebihan satu gol daripada Switzerland di tempat kedua yang berkongsi mata sama.
Tempat ketiga Serbia dengan satu mata dan Costa Rica terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada misi Rusia mereka selepas gagal mengutip sebarang mata.
#Brazil #Costa Rica #Neymar #Philippe Coutinho #Piala Dunia #Piala Dunia AWANI #Raya Bola 2018 #Rusia #Saint Petersburg
;