Neymar, Firmino pastikan kemaraan A Selecao
Israr Khalid
Julai 2, 2018 05:18 MYT
Julai 2, 2018 05:18 MYT
Brazil meneruskan kemaraan untuk memburu gelaran keenam apabila menundukkan cabaran Mexico 2-0, hasil jaringan Neymar dan pemain gantian, Roberto Firmino.
Biarpun masih belum mempamer keupayaan sebenar, skuad A Selecao berjaya memanfaatkan peluang untuk menempatkan diri dalam kalangan lapan pasukan terbaik.
Mexico lebih dominan sepanjang 20 minit awal pertembungan di Samara, namun acap kali buntu untuk menembus benteng pertahanan Brazil yang agak tersusun dan membolehkan juara lima kali itu mengambil kesempatan daripada ketumpulan jentera serangan lawan.
Penjaga gol, Guillermo Ochoa berjaya menidakkan beberapa percubaan antaranya daripada Neymar, Gabriel Jesus dan Philippe Coutinho untuk mengikat kedudukan 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Anak buah Tite tidak menunggu lama untuk mendahului permainan dalam babak kedua, apabila gerakan serangan yang dimulakan Neymar disambut Willian, yang kemudian membuat hantaran lintang untuk ditampan masuk pemain Paris St-Germain itu pada minit ke-51.
Ia merupakan gol keduanya dalam edisi kali ini, juga gol keenam secara kolektif daripada dua Piala Dunia yang disertainya.
Tujuh minit kemudian, Paulinho hampir menjarakkan kedudukan namun percubaannya berada dalam kawalan Ochoa, begitu juga rembatan daripada Willian empat minit kemudian.
Berlaku drama 'lakonan' Neymar pada minit ke-70 apabila pemain sensasi PSG itu bertembung dengan Miguel Layun di garisan tepi padang menyebabkan pemain gantian Mexico itu dilayangkan kad kuning selepas dilihat memijak kaki Neymar.
Ketika El Tri terdesak mencari gol penyamaan lewat permainan dan menolak lebih ramai pemain ke hadapan, ruang itu dimanfaatkan Brazil untuk mengesahkan kemenangan ketika perlawanan berbaki dua minit.
Firmino yang masuk menggantikan Coutinho hanya mengambil masa dua minit empat saat untuk menyelesaikan hantaran Neymar untuk gol pertamanya di pentas Piala Dunia.
Tonton: Brazil 2-0 Mexico