Neymar bukan lagi bayang-bayang Messi
Astro Awani
Januari 11, 2018 11:32 MYT
Januari 11, 2018 11:32 MYT
SATU demi satu kejayaan dipahat Neymar sejak menyertai Paris Saint Germain PSG awal musim lalu.
Ia sekaligus menutup mulut pengkritik yang mempertikai keputusannya meninggalkan gergasi bola sepak Sepanyol Barcelona.
Namun kalau betul-betul hebat letaklah dalam pasukan mana atau liga mana sekalipun tetap juga hebat.
Seperti kata pepatah ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Itu yang dibuktikan penyerang antarabangsa Brazil itu.
Neymar awal pagi tadi jadi watak penting yang membantu PSG layak ke separuh akhir Piala Liga Perancis selepas pasukan itu menundukkan Amiens SC 2-0.
Pemain berjersi nombor 10 ini menyempurnakan penalti pada minit ke-53 selepas dia dikasari Thomas Monconduit sebelum Adrien Rabiot melengkapkan hari gemilang PSG dengan jaringan kedua minit ke-78.
Neymar mengukir nama selaku pemain pertama menjaringkan gol pada setiap penampilan pertama dalam empat kejohanan bersama PSG iaitu Ligue 1, Liga Juara-juara Eropah, Piala Perancis dan Piala Liga Perancis.
Sejak bersama PSG nama Neymar semakin terserlah berbanding ketika bersama Barca yang menyakksikan bakatnya ditenggelami ‘ayam tambatan’ Barca, Lionel Messi.
PSG yang dalam misi menjulang Piala Liga Perancis buat kali kelima berturut-turut bakal berdepan Rennes pada aksi separuh akhi nanti.
Untuk rekod PSG secara keseluruhan telah menjulang Piala Liga Perancis sebanyak tujuh kali.