Neymar bingung Brazil terima sambutan hambar
Astro Arena
Februari 21, 2022 12:03 MYT
Februari 21, 2022 12:03 MYT
NEYMAR mengkritik jurang hubungan di antara pasukan kebangsaannya, Brazil, dan peminat mereka apabila mempersoalkan adakah perjuangan Selecao tidak begitu penting lagi?
Brazil muncul wakil Amerika Selatan pertama yang layak ke Piala Dunia 2022 dan Neymar dijangka sedia mengambil bahagian dalam temasya di Qatar, November depan.
Bagaimanapun, penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu -- yang gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam kekalahan 1-3 kepada Nantes dalam Ligue 1 semalam -- percaya perlawanan membabitkan skuad Selecao itu tidak cukup diperkatakan dan digembar-gemburkan.
“Pasukan kebangsaan hari ini telah menjauhkan diri daripada penyokong. Saya tidak tahu mengapa tetapi saya melihatnya melalui perlawanan,” katanya kepada Ronaldo Nazario di podcast Fenomenos.
"Hanya terdapat sedikit ulasan malah tidak ramai yang tahu jadual perlawanan kami. Ia situasi yang buruk, ia menyedihkan. Dalam generasi saya ini, apabila pasukan kebangsaan bermain, ia tidak lagi menjadi penting.
"Ketika kecil, perlawanan pasukan kebangsaan bagaikan satu pesta. Kami mengibarkan bendera Brazil di tingkap. Ada barbeku, kek dan ada segala-galanya di rumah. Ia adalah satu acara yang agak menarik.
"Tetapi pada hari ini, ia tidak lagi mempunyai kepentingan itu. Saya tidak tahu bagaimana kami boleh sampai ke peringkat ini. Saya berharap segala-galanya akan kembali dan peminat akan sekali lagi menyokong pasukan Brazil.
"Kami akan bersama-sama memburu Piala Dunia, itulah yang semua orang dambakan."
Neymar telah melalui hubungan yang bergelora bersama Brazil dan tahun lalu mendedahkan bahawa dia tidak pasti sama ada dia boleh beraksi satu lagi edisi Piala Dunia bersama pasukan kebangsaan berikutan tekanan mental yang terpaksa dipikulnya.
Brazil belum tewas dalam 15 perlawanan kelayakan Piala Dunia di zon CONMEBOL dan dijadual menentang Chile pada 25 Mac depan.